Mereka malah tidak puas hati dengan inisiatif terbaru Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu kerana menjejaskan sumber rezeki mereka.
Perkara itu diluahkan oleh seorang peminta sedekah dan penghidap HIV Yahya Abdullah, 52, yang sudah mencari rezeki sebegitu sejak 11 tahun lalu.
Bekas tentera itu memberitahuMalaysiakini sejak meninggalkan keluarganya kerana ketagih dadah, dia sudah biasa hidup di tepi jalan dan mencari sesuap nasi dengan meminta sedekah.
"Tak patutlah kalau saman. Macam mana nak makan," kata ketika ditemui di tepi jalan berdekatan stesen sistem transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek di ibu negara.
Manakala seorang wanita tidak berumah Hazellina Ezriantie Noor Mohamed, 28, pula termenung panjang ketika ditanya cadangan Tengku Adnan itu.
Ketika disoal, Hazellina memalingkan wajahnya ke tempat lain dan diam sebentar.
Tidak menyatakan setuju atau tidak, dia yang sudah gelandangan sejak dua tahun lalu berkata berkata perkara itu bukan pilihannya ketika tidak pernah diterima bekerja.
Walaupun pernah bekerja di sebuah kedai kopi mahal, dia mengaku dibuang kerja kerana ketagih gam.
Anak kedua dari tiga beradik itu meninggalkan rumah keluarganya ketika berusia 18 tahun.
Sementara itu, seorang peminta sedekah berbangsa Cina memberitahu KiniTV, mereka tidak akan mempedulikan amaran Tengku Adnan itu kerana selama ini pun kerajaan didakwa tidak membantu mereka.
"Kami tak peduli, sebab kerajaan bukan hendak tolong kami. Ya, memang mereka bantu dengan hantar kami ke institusi.
"Kami tak mahu begitu. Kami ini manusia, kami mahu hidup bebas, semua manusia mahu hidup bebas. Kami bukan burung dalam sangkar. Jadi kami tak peduli.
"Biar mereka tangkap, Kami ada peguam. Saya tak boleh beritahu siapa peguam kami," jawabnya bersahaja.
Lelaki dalam lingkungan 60-an itu ditemui sedang asyik membaca sebuah akhbar Inggeris, sambil berbaring di atas sekeping kotak dan kepalanya hanya beralaskan beg.
Kalau Ku Nan tak ada kerja...
Sementara itu, golongan pemberi sedekah juga rata-rata menyatakan tidak puas hati dengan langkah terbaru kerajaan itu, yang turut mahu menghukum golongan itu.
Ketika tinjauan Malaysiakini di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur, seorang pelajar universiti Zulkhairi Tuan Man, 23, berkata cadangan Tengku Adnan itu satu "tindakan kejam".
Katanya, saman bersiri RM150 "keterlaluan" dan pesalah menurutnya patut diberi amaran sahaja untuk kesalahan pertama.
"Beri sedekah kepada peminta sedekah tepi jalan pun kena saman, agak zalimlah. Sebagai orang Islam dalam agama cakap dalam harta yang kita ada ada bahagian untuk orang miskin.
"Jadi bila kerajaan buat macam tu macam kerajaan zalim kepada orang," katanya kepada Malaysiakini.
Seorang penulis buku Misnon Jamil yang juga sering menderma kepada peminta sedekah tepi jalan turut mempersoalkan cadangan Tengku Adnan.
Misnon juga mendesak supaya menteri wilayah persekutuan itu mengkaji semula perkara itu dari sudut agama.
"Kenapa sampai nak saman orang bagi sedekah? tak payah!
"OK, saya (pemberi sedekah) mengaku bersalah masuk penjara beberapa bulan sahaja.
"Kalau bawa ke mahkamah, mengaku bersalah sahaja. Kita hukum kerajaan Malaysia. Biar masuk penjara padat dengan kesalahan memberi sedekah," katanya dengan nada tinggi.
Tambah beliau lagi, Tengku Adnan harus merasai dahulu kehidupan sebagai golongan yang tidak berkemampuan itu.
"Sebenarnya Ku Nan patut berhenti kerja, tengok jadi apa bila tak ada kerja, tak ada pendapatan. Kau akan gelandangan juga. Atau ditakdirkan dia jadi gila," katanya.
Tak semua tolak 'pembersihan'
Bagaimanapun, tidak semua usaha Tengku Adnan itu kerana menihatnya sebagai usaha positif.
Seorang pengawal keselamatan Mohd Khairul Azmin, 32, berpendapat cara itu dapat mengurangkan lambakan pengemis dan gelandangan di ibu negara.
Bagaimanapun, Khairul berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bayaran saman bersiri yang dikenakan ke atas pemberi sedekah.
"Saya setuju dengan saman itu kurang sikit orang nak minta sedekah, sekarang terlalu ramai kerja ada pun mereka ini malas nak kerja sebab tahu ada nasi percuma. Nak kerja buat apa lagi.
"Elok cadangan Tengku Adnan nak buat macam tu.
"Tapi cadangan saman RM150 tu harap kerajaan dapat pertimbangkan sikitlah. Kalau macam ini tak payah bagi sedekahlah. Kita nak bagi ikhlas tapi kita yang susah, " katanya.
No comments: