» » Prinsip kebebasan yang sebenarnya hanya satu retorik di M'sia


Mudah sahaja sebenarnya.

Sama ada anda menyokong hak asasi manusia dan kebebasan sivil atau tidak.

Sebaik sahaja anda menggunakan perkataan “secara prinsipnya” apabila bercakap tentang hak asasi manusia dan kebebasan sivil, anda bukan lagi seorang yang berprinsip.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan wajah manisnya kepada dunia selepas digelar “reformis.”

Berkongsi satu pentas dengan Presiden Barack Obama dalam satu sidang akhbar, beliau dan pemimpin Amerika itu ditanya oleh wartawan antarabangsa tentang rekod hak asasi manusia di Malaysia yang tidak begitu baik.

“Secara prinsipnya, Presiden Obama dan saya kedua-duanya mementingkan kebebasan sivil,” kata Najib.

Secara prinsip? Nota kepada Najib: sama ada anda komited untuk mempertahankan kebebasan sivil atau tidak.

Memo kepada Obama: secara terang-terangan Najib tidak mendengar betul-betul apabila anda menekannya tentang rekod hak asasi manusia Malaysia dan kebebasan sivil semasa perbincangan dua hala berlangsung.

Obama mengatakan: “Perdana Menteri Najib mengambil alih kuasa sebagai seorang reformis dan seseorang yang komited tentangnya, dan saya akan terus memberi galakan kepadanya sebagai seorang rakan dan sekutu bagi memastikan kita mencapai kemajuan tentang itu.”

Presiden AS itu dan pegawainya di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur mungkin sedang “khayal dengan dadah.”

Tidak ada kebebasan sivil di Malaysia dan contoh terbaik adalah bagaimana dakwaan menghasut dikenakan kepada mendiang Karpal Singh dan sekumpulan ahli politik pembangkang lain.

Najib dan Obama bercakap tentang reformasi yang kononnya dilakukan perdana menteri selepas mengambil alih kuasa, apabila ia hanyalah muslihat untuk menutup mata dan tidak lebih dari itu.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Akta Perhimpunan Aman (PAA) mungkin berniat baik, tetapi menjadi bahan lawak apabila kerajaan, polis dan agensi kerajaan menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk menggagalkan sebarang tunjuk perasaan terhadap kerajaan.

Walaupun Mahkamah Rayuan memberikan penghakiman bersejarah minggu lepas dan membuka laluan kepada rakyat untuk berhimpun secara aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan amaran tindakan keras akan diambil terhadap perhimpunan anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini.

Dalam laporan The New York Times mengenai sidang akhbar itu, mereka menulis “aktivis hak asasi manusia memberikan kredit kepada Najib sebagai seorang reformis apabila mula-mula mengambil alih kuasa.

Tetapi baru-baru ini, mereka mengatakan Najib ditarik daripada sikap kesederhanaannya kerana elemen reaksioner dalam partinya.”

Ditarik? Bukan begitu.

Apa sahaja yang dilakukan perdana menteri adalah untuk mendapatkan kredit. 

Beliau memperkenalkan sesetengah reformasi dengan harapan mendapat sokongan daripada kelas yang suka berceloteh.

Apabila gagal, Najib akan kembali kepada dakapan Umno.

Reformis tulen tetap dengan prinsipnya dan cuba untuk menyakinkan mereka yang ragu-ragu serta pengkritiknya.

Seseorang yang hanya percaya kepada kebebasan sivil “secara prinsipnya” tidak akan dapat mempertahankan apa yang dikatakan.

Biasa dengar tentang ini?

Sumber T-M-I

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .