Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan menerima 14 jahitan di muka selepas diserang sekumpulan kera yang menceroboh masuk ke rumahnya di Kampung Gelugor di Kemaman.
Kejadian itu berlaku kira-kira 1 tengah hari Sabtu lepas ketika bayi itu, Nor Iman Adriana Zuhairi, sedang tidur di dalam buaian di bahagian dapur rumah manakala ibunya berada di dalam bilik sedang bersiap untuk ke majlis kenduri kahwin.
Ibu bayi, Siti Najwa Muhammad, 21, berkata dia sedang memakaikan pakaian kepada anak sulungnya sebelum terdengar Nor Iman menangis dengan kuat.
Curiga dengan tangisan itu, dia bergegas menjenguk ke dapur dan terkejut apabila mendapati tiga ekor kera berada di dalam buaian bersama anaknya.
"Panik melihat anak diserang haiwan itu saya menjerit sekuat hati menyebabkan kera itu melarikan diri," katanya pada Bernama ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Siti Najwa berkata dia amat terkejut selepas melihat muka anak bongsunya dipenuhi darah serta terdapat dua kesan calar sepanjang kira-kira lima sentimeter.
Bayi itu dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan.
Siti Najwa berkata memang terdapat banyak kera di kawasan hutan berhampiran rumahnya dan minggu lepas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun digigit kera liar di bahagian betis tidak jauh dari rumahnya.
"Saya harap pihak berkuasa segera mengambil tindakan untuk menghalau kera liar terbabit. Saya kini berada dalam keadaan trauma dan sukar melupakan kejadian yang berlaku ke atas bayi saya," katanya.
Sumber M-K
No comments: