Seorang lagi individu dipercayai terlibat dengan kegiatan militan ditahan di Kuala Lumpur pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap ialah 10 orang.
Semalam, sembilan ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman. Mereka berumur antara 25 hingga 26 termasuk seorang wanita, tiga ditahan di Kedah dan enam di Selangor.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (bawah) berkata wanita yang ditahan hari ini merupakan seorang balu namun enggan mendedahkan secara terperinci lokasi serta waktu dia ditahan.
"Setakat pagi tadi, kami sudah menahan 10 orang yang dipercayai ada hubung kait dengan rangkaian Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah serta menerima latihan ala ketenteraan," katanya.
Beliau memberitahu sidang media selepas majlis 'Pemakaian Pangkat Time Based berasaskan kecemerlangan koperal dan sarjan penjara', pelancaran unit pengiringan bermotosikal dan jersi pasukan bola sepak Penjara FC.
Ahmad Zahid berkata pihaknya juga telah merampas pakaian ala tentera, buku jihad, pisau rambo, pedang samurai dan bendera kumpulan pengganas antarabangsa daripada 10 individu berkenaan.
Tambahnya, maklumat risikan juga mendapati mereka mempunyai rangkaian di luar dan dalam negara, dan telah menyertai beberapa misi jihad di negara yang sedang bergolak.
"Mereka menyamai apa yang dilakukan Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah berselindung atas nama misi kemanusiaan," katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan misi mengesan saki baki kumpulan itu yang dipercayai lebih daripada 10 orang.
Ketika ditanya mengenai cara anggota kumpulan itu direkrut, beliau berkata PDRM menyelidiki semua punca pengambilan yang dilakukan daripada individu, kumpulan atau laman sosial seperti Facebook dan tidak akan ada unsur kompromi kepada sesiapa sahaja yang terlibat.
Ahmad Zahid berkata setelah siasatan selesai, beliau akan meminta Bukit Aman mendedahkan mengenai kumpulan itu, yang terdiri dari pelbagai latar belakang individu.
Kesemua ditahan mengikut Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan dan Akta Kanun Keseksaan serta disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
"Saya yakin di bawah Sosma kita akan dapat membendung gejala keganasan di negara ini yang mengamalkan kesederhanaan dalam Islam," katanya.
Sumber M-K
No comments: