» » Anwar tidak akan tolak ansur kepada penipuan


Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden penipuan ketika Pemilihan PKR 2014 berlangsung.

Ketua pembangkang itu menegaskan, parti itu akan menyiasat segala dakwaan penipuan mahupun kecuaian tanpa mengira siapa calon yang menang di kawasan itu.

"Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sudah memberi penjelasan. 

Arahannya jelas, sebaik sahaja ada elemen kecuaian, siasat segera, batal atau tangguh.

"Jangan bertolak ansur sama sekali. 

Tidak kira siapa calon yang menang," kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

The Malaysian Insider difahamkan, JPP sedang menyiasat laporan penipuan dan penggunaan wang untuk membeli undi dalam pemilihan parti itu, termasuk di peringkat tertinggi.

Mereka mempunyai kuasa penuh untuk menggantung atau membatalkan sebarang keputusan jika didapati terlibat dengan sebarang salah laku.

Jelas Anwar, pengerusi JPP PKR Datuk Johari Abdul juga sedang meneliti insiden di Cabang Batang Sadong, Sarawak dan pihaknya memberi jaminan tidak akan menyembunyikan sebarang penipuan.

"Kita bukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita tidak sembunyikan penipuan," katanya.

JPP PKR semalam mengesahkan berlakunya kejadian bekalan elektrik terputus di lokasi pengiraan kertas undi di Batang Sadong, sehingga mencetuskan kekecohan.

Johari berkata, kekecohan itu berlaku apabila kertas undi bagi pemilihan PKR berkenaan sedang dikira di pusat mengundi di sebuah bilik hotel bajet di kawasan berkenaan.

Terdapat sekumpulan petugas untuk menjalankan pengiraan, dan oleh sebab tempat itu di kawasan pedalaman, tiada lokasi sesuai dapat digunakan, jadi mereka memilih tiga bilik di hotel bajet berkenaan.

"Sehabis waktu pilihan raya, petugas dan wakil daripada calon membawanya ke dalam bilik untuk pengiraan, dan ketika itu seluruh kawasan Batang Sadong tiba-tiba terputus bekalan elektrik," kata Johari ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya semalam.

Jelasnya lagi, ketika kejadian itu berlaku, dua wakil calon pergi ke bilik berkenaan dan mendapati kertas pengundian berselerak.

"Ketika mereka sedang buka tong undi dan mengira, kebetulan bekalan elektrik terputus.

"Dua calon majlis pemilihan pusat datang untuk memastikan pengiraan berjalan lancar, tetapi mereka terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pintu bilik dibuka," katanya, dan menambah insiden itu kemudiannya mencetuskan kekecohan.

"Mereka ambil gambar kertas undi yang berselerakan, lalu mereka mendakwa wujudnya unsur penipuan," katanya lagi.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .