Pihak pendakwaan Singapura cuba membuktikan di mahkamah bahawa bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei mempunyai kuasa dan adalah kunci kepada beberapa urus niaga yang membabitkan jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low dalam kemelut 1MDB, lapor The Edge, semalam.
Yeo, yang berada di kandang saksi untuk hari kedua, terus meremehkan peranannya dalam urus niaga berkenaan dan menegaskan dirinya semata-mata seorang pegawai muda yang mengambil arahan daripada bekas bosnya Kevin Swampillai.
Yeo menangkis tuduhan bahawa beliau mempunyai hubungan rapat dengan Low, yang dinamakan dalam saman pelucuthakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan dengan 1MDB.
Pada perbicaraan itu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Kiat Pheng menunjukkan e-mel, yang memberi arahan daripada Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah Urusan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB dan pelanggan BSI .
E-mel itu yang memaparkan Swampillai menulis kepada Yeo meminta dirinya diberi taklimat mengenai arahan Nik Faisal pada April 2012.
Yeo, yang didakwa dengan empat tuduhan mengganggu saksi, bagaimanapun berhujah bahawa Swampillai mungkin tidak berada di pejabat hari itu.
Yeo meninggalkan bank BSI pada bulan Jun 2014 dan bekerja sebagai perunding bebas, yang membolehkannya menjana pendapatan antara AS$12 juta dan AS$15 juta dalam peranannya sebagai "introducer" perniagaan.
No comments: