Lelaki warga asing berusia 40-an, ditahan orang ramai selepas mengamuk dengan memecahkan pasu bunga dan kereta orang ramai di Masjid Kampung Pertama, Permatang Pauh, 9 pagi semalam.
Lelaki yang mendakwa dia warga Palestin tidak mempunyai dokumen dan mengamuk selepas tidak dibenarkan tinggal di masjid berkenaan.
Pengerusi Masjid Kampung Pertama Jasbi Ismail berkata, lelaki itu sudah seminggu tinggal di masjid dan tidak menjaga tertib ketika tinggal di situ.
"Dia tidak menjaga kebersihan di dalam masjid malah ketika orang lain sedang berjemaah dia hanya tidur dan menimbulkan kerisauan jemaah wanita di sini.
"Kanak-kanak yang datang ke tadika di belakang masjid juga risau dengan kehadirannya yang dilihat tidak terurus serta sering meminta sedekah," katanya.
Menurutnya, pihak masjid mengarahkannya keluar dari masjid namun dia enggan dan bertindak mengamuk dengan memecahkan pasu bunga serta kereta yang lalu lalang di hadapan masjid.
Katanya, lelaki itu kemudian ditahan sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pihak masjid semalam.
Beliau berkata, lelaki berkenaan akan direman sehingga 21 November ini dan akan dituduh di mahkamah kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
No comments: