» » » Kementerian Sumber Manusia keluarkan buku panduan untuk penetapan gaji permulaan


Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan buku panduan mengenai kaedah penetapan gaji permulaan bagi 160 jenis pekerjaan terpilih berasaskan kemahiran, kata timbalan menterinya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata buku panduan itu dengan majoriti melibatkan pekerjaan dalam bidang teknikal dan vokasional itu akan memudahkan majikan dan pencari kerja membuat rujukan mengenai pelaksanaan struktur gaji permulaan di negara ini.

Buat permulaan, sejumlah 10,000 buku panduan ini telah diedarkan dan selepas ini, buku tersebut akan ditempatkan di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC), katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Job Fair @ UTC' peringkat kebangsaan 2016 di UTC Kuantan di sini hari ini.

Beliau berkata kandungan buku panduan itu akan dikaji semula dan dikemas kini setiap dua tahun sekali selaras dengan kajian semula Perintah Gaji Minimum.

Justeru, beliau berharap majikan akan melaksanakan kadar gaji pokok permulaan yang disyorkan dalam buku panduan tersebut bagi lulusan sijil dan diploma kemahiran.

Mengenai Job Fair itu, katanya, ia diadakan serentak di sembilan UTC di seluruh negara yang melibatkan penyertaan 280 majikan dengan penawaran 15,000 kekosongan jawatan merangkumi pelbagai kategori jawatan dan sektor.

"Di UTC Kuantan pada hari ini sahaja, sebanyak 30 majikan terlibat dengan menawarkan 1,800 kerja kosong untuk diisi oleh anak tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata Pusat Kerjaya akan dibuka di semua UTC pada tahun depan dalam usaha memperkasa UTC sebagai Hub Perkhidmatan Pekerjaan dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada semua lapisan masyarakat.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .