Bilangan kes ragut di negeri ini untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini membimbangkan iaitu 301 kes berbanding 84 kes keseluruhan pada tahun lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hari ini.
Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar berkata dalam tempoh sama tahun ini seramai 77 orang ditahan dan 19 orang didakwa atas kesalahan ragut di negeri ini.
Beliau berkata kes ragut sebenarnya berjaya diturunkan tahun lepas berbanding 200 kes pada tahun 2014 dan 201 kes pada tahun 2013.
"Kerajaan sentiasa komited dan melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kes ragut ini tidak menjadi ancaman serta punca ketakutan rakyat di negeri ini," katanya di Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chin Choong Seong (DAP-Kesidang) yang bertanya tentang bilangan kes jenayah terutama ragut di negeri ini.
Latipah berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini juga sebanyak 364 kes pecah rumah dicatat dengan 187 orang ditahan dan 50 lagi didakwa atas kesalahan itu.
Sementara itu ketika sesi perbahasan Bajet Negeri Melaka 2017 pada
persidangan itu, Ketua Pembangkang Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) diarah keluar dewan oleh Speaker Datuk Othman Muhamad.
Othman membuat keputusan menggantung Khoo menghadiri persidangan untuk hari ini kerana ingkar arahan untuk menamatkan ucapan bahas setelah peruntukan masa 15 minit tamat.
No comments: