Bekas senator Datuk Ezam Mohd Nor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berhubung bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).
Kata Ezam gesaan itu dibuat ekoran persoalan dan amaran dibuat bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semasa membahaskan belanjawan 2017 di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Justeru hari ini Ezam membuat laporan kepada SPRM di pejabat agensi antirasuah itu di Shah Alam Selangor.
Dalam aduannya Ezam yang pernah mengetuai pergerakan pemuda PKR itu menyatakan tindakan itu dibuat bagi melindungi kepentingan kira-kira 1.6 juta penyumbang Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang memberikan pinjaman kepada SRC.
"Mengambil kira tatacara pemberian wang RM4 bilion kepada SRC yang dibuat secara luar biasa, SPRM juga perlu menyiasat segera semua anggota lembaga KWAP dan badan pengurusannya," kata Ezam dalam kenyataan kepada media.
Pandangan Ezam itu merujuk kepada kenyataan Ahmad Husni bahawa RM4 bilion pinjaman daripada KWAP dikeluarkan sekali gus berbanding secara berpeingkat seperti dikehendaki prosedur.
Walaupun mengakui Ketua Pegawai Eksekutif KWAP sebelum ini memaklumkan SRC belum menanggung apa-apa tunggakan kepada badan itu setakat ini Ezam berpendapat masih terdapat kebimbangan mengenai jumlah baki hutang yang ditanggung sehingga 2022.
Katanya menurut laporan akhbar Singapura The Straits Times pada Julai lalu nilai pelaburan SRC menurun ketara dan sebuah firma dari China sedang dalam proses menyelamatkannya.
"Jika laporan ini benar, risiko SRC gagal membayar balik pinjamannya kepada KWAP pada masa depan lebih besar," katanya.
Awal bulan ini Pejabat Peguam Negara Switzerland secara terbuka menyatakan siasatan mereka mendapati sejumlah besar wang didakwa disalah guna dari syarikat SRC dan menganggap berlaku penipuan menggunakan kaedah seperti skim Ponzi (skim cepat kaya).
Terdahulu SPRM menjalankan siasatan untuk mengenal pasti bagaimana dana bernilai RM42 juta dari SRC boleh disalurkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kemudian - pada Januari lalu - menyatakan Najib tidak melakukan sebarang salah laku dan tidak menyedari dana berkenaan disalurkan kepadanya.
Laman sesawang Sarawak Report pada bulan ini pula mendakwa rekod bank menunjukkan bekas pengarah urusan SRC Nik Faisal Ariff Kamil menguruskan beberapa akaun bank kononnya milik Najib.
Sarawak Report mendakwa sejumlah besar wang didepositkan ke akaun itu antara Februari dan Mac 2015.
Perdana menteri tidak memberikan maklum balas kepada permintaan mendapatkan komennya terhadap dakwaan terbaru itu.
No comments: