Ketua Anggota-anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini menzahirkan rasa terkejut setelah menyaksikan bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah diserang selepas meninggalkan kerajaan.
"Apa yang...mengejutkan ialah pendedahan Ahmad Husni dalam ucapannya di Parlimen bahawa walaupun beliau menjadi menteri yang setia dan profesional, dengan menjana KPI 'di kalangan menteri yang terbaik' telah difitnah dan diburukkan oleh jentera media baru Umno dalam media sosial selepas meninggalkan Kabinet," ujar Lim dalam kenyataan, hari ini.
Sehingga kini, Ahmad Husni masih menutup mulutnya mengenai sebab sebenar beliau meninggalkan kerajaan pada bulan Jun yang lalu , tetapi dalam satu wawancara tiga bulan kemudiannya mengakui berada di bawah tekanan yang dahsyat ekoran skandal 1MDB.
Ahmad Husni dipetik sebagai berkata, walaupun beliau tidak mewujudkan skandal tersebut iaitu 1MDB , tetapi beliau yang ditugaskan untuk menyelesaikannya.
Pada Isnin yang lalu, ketika berucap di Parlimen, Ahmad Husni buat pertama kalinya bersuara secara terbuka terhadap cara kerajaan menangani 1MDB.
"KPI (indeks prestasi utama) saya adalah yang terbaik di kalangan menteri-menteri - sentiasa melebihi 100 peratus.
"(Sebaik sahaja) saya berhenti, anda lihat di media sosial - dua hari selepas saya berhenti, mereka menyerang saya tanpa sebarang sebab.
"Saya tahu siapa 'A', 'B' dan 'C" yang menyerang saya. Mengapa bermain-main? Marilah cintakan rakyat. Kita bekerja untuk rakyat," tambah beliau yang juga anggota Parlimen Tambun.
No comments: