» » Semut kayap atau 'Charlie' sebabkan keradangan kulit yang teruk pada budak berusia 3 tahun


“Pada mulanya kami menyangkakan Syara terkena penyakit kayap sehinggalah doktor mengesahkan ia akibat gigitan serangga dikenali sebagai Charlie,” kata Fara Fauzan Ahmad Ramizun, 27, ibu kepada Syara Eryyna Mohd Syafiq, 3, ketika dihubungi, semalam

Kanak-kanak itu mengalami luka melepuh seperti terkena percikan api dan luka teruk di kaki kiri akibat terkena toksin serangga berkenaan

Charlie atau nama saintifiknya kumbang Rove mempunyai toksin yang boleh menyebabkan konjunktivitis dan penyakit kulit teruk iaitu ‘dermatitis linearis’, malah boleh mengancam nyawa jika mengalami alahan teruk

Serangga itu yang lebih dikenali sebagai semut kayap mengandungi toksin paling berbisa di dunia, Pederin dan tahap keracunan tinggi biarpun selepas dikeringkan dan disimpan selama lapan tahun

Fara Fauzan berkata, belakang lutut anak sulungnya mula timbul merah seperti ruam pada 25 Ogos lalu sebelum keesokkannya menjadi makin merah dan menggelembung.


Sementara itu berkaitan masalah ini diulas lanjut dengan laporan dibawah .

Sentuhan pada mana-mana bahagian kumbang Rove atau disebut Charlie di negara ini perlu dicuci segera bagi mengelak risiko keradangan kulit dan mata yang lebih teruk

Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kartini Farah Rahim berkata, tindakan pantas perlu memandangkan serangga terbabit memiliki toksin berbahaya di badannya dan boleh menyebabkan mangsa mengalami lepuh dan lecur pada kulit

“Kumbang jenis ini semakin mudah didapati berikutan musim hujan antara Julai dan Oktober

“Pada waktu pagi, kumbang ini merangkak di atas daratan, tetapi cenderung mencari lampu dan cahaya serta masuk ke dalam rumah pada waktu malam.


“Fizikalnya yang kecil sering membuatkan kita terlepas pandang, namun sentuhan kulit dengan kumbang ini boleh mendatangkan kesan radang dan penyakit paederus dermatitis (penyakit kulit yang melepuh dan melecur),” katanya

Menurut Dr Kartini, sekalipun kumbang Rove tidak menggigit manusia, namun sentuhannya boleh mengakibatkan kawasan kulit menjadi merah, berair dan melecur pada keesokan harinya

“Kawasan kulit yang bersentuhan serangga ini akan terasa pedih dan gatal

“Jika kumbang berkenaan terlintas di kawasan kulit ketika terbang, ia akan kelihatan seperti satu garisan lurus atau linear dermatitis,” katanya

Akhbar ini semalam melaporkan mengenai kesengsaraan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Syara Eryyna Mohd Syafiq yang luka teruk di kaki kiri, melepuh seperti terkena percikan api akibat terkena toksin serangga berkenaan

Menurut ibunya, Fara Fauzan Ahmad Raimuzun, 27, belakang lutut anaknya mula timbul merah seperti ruam pada 25 Ogos 2016 lalu dan kemudiannya terus merebak hingga terpaksa dirawat di hospital dan doktor yang merawat mengesahkan anaknya terkena toksin Charlie

Dr Kartini berkata, ramai doktor yang tersalah anggap bahawa kesan lecur adalah herpes zoster atau kayap

“Penyakit ini tidak akan baik dengan pil anti-viral yang biasa, malah rawatan kulit perlu dilakukan secara simtomatik

“Pesakit perlu diberi ubat untuk menurunkan keradangan dan memulihkan lecuran yang ada

“Ia bagaimanapun akan pulih dengan sendirinya,” katanya

Tambah beliau, apabila radang yang dialami pesakit kian pulih, kawasan berkenaan akan menjadi berkerak dan semakin kurang kemerahannya

“Jangan sesekali menggaru kerana toksinnya boleh disebarkan ke kawasan kulit yang lain

“Seeloknya kawasan yang bersentuhan dengan kumbang dirawat dengan kaedah rendam dalam larutan potassium permanganate atau garam biasa selama 30 minit

“Jika kawasan berkenaan tumbuh belon air, cucuk kesan gelembung dengan jarum yang steril dan bersih, tunggu sehingga kempis dan sembur larutan potassium permanganate atau air garam setiap 30 minit sehingga satu jam

“Kawasan terbabit biasanya akan kering selepas tiga hari,” katanya

Namun demikian, pesakit tetap dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian lanjut mengenai penyakit dihadapi


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .