Seorang kakitangan Pejabat Daerah Jerantut terpaksa membatalkan hasrat menyambut Aidiladha bersama keluarganya di kampung halaman selepas kediamannya di Kuarters Kerajaan di sini, musnah dalam kejadian awal pagi tadi
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, Esah Abdul Rahim, 55, berada di kampung keluarganya di Pekan , dan terpaksa berpatah balik ke sini selepas dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan
Esah berkata, keseluruhan rumahnya musnah dalam kejadian itu dan mengalami kerugian dianggarkan RM30,000
"Walaupun sedih namun saya bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa dan kebetulan jiran saya juga tiada di rumah kerana bercuti di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui di sini, hari ini
Sementara itu, jiran Esah, Nazrul Zainuddin, 21, berkata ketika kejadian dia sedang menonton televisyen dan tiba-tiba mendengar bunyi cermin pecah
"Disebabkan bunyi semakin kuat, saya menjenguk keluar dan mendapati rumah jiran sedang terbakar. Saya kemudiannya menjerit meminta tolong kerana mahu menyedarkan penghuni rumah berkembar itu
"Saya terus menghubungi bomba dan memberi bantuan awal memadamkan kebakaran dengan bantuan jiran lain," katanya
Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerantut, Pegawai Kanan Bomba Osman Malek, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.28 pagi dan tiba di tempat kejadian pada jam 3.47 pagi
"Seramai sembilan anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan operasi tamat pada jam 5.18 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya




No comments: