» » Rafizi pertimbang buat laporan polis ke atas Ketua Polis Negara kerana gagal siasat skandal 1MDB secara telus


Saya dihubungi oleh Inspektor Haniff dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh semalam untuk dimaklumkan bahawa saya sedang disiasat ekoran ucapan saya di hadapan Penjara Sungai Buloh pada 10 Ogos 2016 iaitu semasa perhimpunan meraikan ulang tahun kelahiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-69.

Saya juga dimaklumkan bahawa kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada hari Khamis 25 Ogos ini.

Hari Sabtu lalu, tiga aktivis siswa yang menjalankan sessi penerangan mengenai perhimpunan #TangkapMO1 - dijadual berlangsung hujung minggu ini - ditahan dan digari polis di Seri Iskandar, Perak. Mereka dibawa ke mahkamah dan telah dikenakan tahanan reman selama tiga hari.

Dalam suasana kemarahan rakyat terhadap Datuk Seri Najib Razak masih memuncak ekoran pelbagai pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat yang dikaitkan dengan 1MDB, tindakan dilihat kasar terhadap sebarang kritikan kepada agensi itu atau perdana menteri tidak membantu menaikkan imej pasukan polis.

Apatah lagi apabila tindakan tegas yang sama tidak diambil ke atas pelbagai laporan polis yang telah dibuat selama bertahun-tahun terhadap individu-individu utama di belakang 1MDB.

Alasan yang diberikan oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini ialah untuk menunggu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memuktamadkan terlebih dahulu siasatan terhadap 1MDB. Setelah kedua-dua siasatan ini selesai, alasan terbaru beliau ialah pihak polis hanya akan mengambil tindakan berdasarkan siasatan Ketua Audit Negara.

Tindakan tak sama tegas

Ketua Polis Negara sebenarnya lupa bahawa saya sendiri telah membuat dua laporan polis terhadap individu utama di belakang 1MDB selepas siasatan Ketua Audit Negara diketahui umum. Maknanya kedua-dua laporan polis yang saya buat mematuhi kriteria ditetapkan Ketua Polis Negara - iaitu tindakan boleh diambil hasil penemuan hasil daripada siasatan Ketua Audit Negara.

Dua laporan polis yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

Pada 30 Mac 2016, saya telah membuat satu laporan polis terhadap Arulkanda Kandasamy dan pengurusan 1MDB yang lain setelah satu muka surat laporan Ketua Audit Negara yang bocor mendapati bahawa pengurusan 1MDB membuat pembayaran sebanyak RM288 juta tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB. Butiran terperinci laporan polis itu boleh diperolehi di http://rafiziramli.com/2016/04/laporan-polis-terhadap-arulkanda-kandasamy/
Pada 18 April 2016, saya telah membuat satu laporan polis terhadap Jho Low ekoran laporan Jawatankuasa PAC pada muka surat 8 hingga 14 yang secara jelas memperincikan pelbagai pelanggaran undang-undang yang boleh disiasat di bawah Akta Syarikat, Akta SPRM, Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang melibatkan Jho Low. 

Selain saya, laporan yang sama juga dibuat di seluruh negara oleh rakyat biasa. Butiran terperinci laporan polis itu boleh diperolehi di http://rafiziramli.com/2016/04/laporan-polis-terhadap-jho-low-berdasarkan-bukti-dalam-laporan-jawatankuasa-kira-kira-awam-pac/

Sehingga kini kedua-dua mereka masih belum ditahan dan kita tidak mendapat apa-apa maklumat daripada Tan Sri Khalid mengenai tindakan yang telah diambil ekoran daripada laporan polis saya dan mendapat liputan meluas di kalangan rakyat.

Oleh sebab itulah, apabila pihak polis terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap individu dan kumpulan yang mengkritik Najib berhubung skandal 1MDB tetapi tiada tindakan sama tidak diambil terhadap watak-watak di belakang 1MDB, ia sudah tentu menjejaskan imej pasukan polis di mata rakyat. Malah penahanan siswa hujung minggu lalu berkemungkinan menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pasukan polis.

Saya yakin pegawai-pegawai yang terbabit hanya menjalankan tugas kerana diarahkan. Saya tahu ramai di kalangan anggota polis yang mempunyai pandangan yang sama dengan rakyat terbanyak mengenai skandal 1MDB: Mereka marah dan berasa jijik dengan penyalahgunaan wang rakyat ketika mereka (anggota polis) turut mengalami kesusahan seperti rakyat biasa.

Dua hari lalu (Sabtu) saya menyampaikan ceramah di Tambun yang berkisar mengenai kesan skandal 1MDB kepada rakyat. Ceramah itu turut dipantau oleh pasukan polis tempatan yang datang dalam jumlah yang ramai (sekitar lima hingga tujuh orang) dengan lengkap beruniform.

Di akhir ceramah ketika saya bergerak ke kereta, beberapa orang daripada anggota polis beruniform itu menghampiri saya.

Saya ingat mereka mendekati saya untuk menangkap saya seperti kebiasaannya, sebaliknya mereka meminta untuk “tangkap gambar” dengan saya tanpa sedikit pun merasa malu untuk menutup nombor polis yang ada di uniform mereka.

Ketua Polis Negara sewajarnya tahu bahawa tindakan dan sikap beliau boleh dilihat mengheret nama baik pasukan polis yang boleh dituduh melindungi pesalah di belakang 1MDB sedangkan sebahagian besar anggota polis sendiri marah dengan skandal 1MDB.

Jika ini berterusan, ia boleh melemahkan semangat (morale) pasukan polis.

Jika kenyataan dan sikap Khalid berterusan begini, saya sedang berbincang dengan peguam-peguam saya untuk membuat laporan polis terhadap beliau atas kegagalannya mengambil tindakan terhadap laporan-laporan polis yang dibuat terhadap Jho Low dan individu lain yang dikaitkan dengan 1MDB.

_____________________________________________________

RAFIZI RAMLI anggota parlimen kawasan Pandan


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .