» » Mengapa menteri kewangan tak peduli dengan kenyataan Deloitte bahawa audit akaun 1MDB bagi 2013 dan 2014 tak sah ?


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua terkejut dengan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani yang dilihatnya seolah-olah tidak begitu kisah dengan kenyataan Deloitte bahawa akaun 1MDB bagi 2013 dan 2014 tidak lagi boleh digunakan.

"Mengapa Johari tidak berminat terus dengan dana yang hilang dan digelapkan? Mengapa tidak ada permintaan dari menteri itu untuk akaun itu diaudit semula?" soal Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Johari berkata pada hari Isnin bahawa tidak ada kesan ke atas 1MDB dengan mengatakan akaun yang 2013 dan 2014 yang diaudit Deloitte sepatutnya tidak lagi boleh digunakan.

Beliau berkata ini kerana 1MDB tidak mempunyai hutang tertunggak dengan mana-mana bank tempatan, dan tidak akan menggunakan akaun tersebut untuk memohon pinjaman bank.

Ekoran saman sivil pelucuthakan yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika untuk mendapatkan kembali kira-kira AS$1 bilion daripada AS$3.5 bilion yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB, firma pelaburan negara itu berkata akaun-akaun tersebut tidak perlu digunapakai sebagai "langkah berjaga-jaga".

Ia sementara menunggu keputusan mahkamah Amerika mengenai saman sivil berkenaan.

Bagaimanapun 1MDB masih percaya bahawa akaun 2013 dan 2014 adalah gambaran sebenar dan tepat mengenai kedudukan syarikat itu pada masa itu.

Deloitte berkata, maklumat yang terkandung di dalam fail saman DOJ itu akan memberi kesan terhadap auditnya, jika maklumat ini diketahui pada masa itu.

Pua mempersoalkan sama ada Johari dinaikkan pangkat daripada jawatan timbalan menjadi menteri kewangan kedua bulan lalu kerana beliau akan melakukan apa yang terdaya olehnya untuk menutup dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Ahli parlimen DAP itu juga menyasarkan kenyataan Johari bahawa Putrajaya yakin 1MDB akan menang kes timbangtara membabitkan AS$6.5 bilion yang dibawa oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS.

Menurut Pua, keyakinan Johari itu menghairankan, memandangkan perkembangan DOJ yang jelas menunjukkan pelbagai pegawai utama 1MDB didakwa memainkan peranan penting dalam konspirasi untuk menipu 1MDB.

"Dalam keadaan itu, bagaimana 1MDB akan dapat membuktikan kepada Mahkamah Timbang Tara London bahawa 1MDB bukan pihak yang tidak bersalah dalam penipuan besar-besaran itu?

"Adakah Johari akan meletakkan jawatan jika keputusan itu didapati tidak memihak kepada 1MDB?" Soal Pua.

IPIC dan Aabar membawa Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1MDB kepada mahkamah timbang tara antarabangsa di London pada bulan Jun.

Pada tahun 2012, 1MDB memindahkan AS$3.5 bilion kepada Aabar BVI sebagai sebahagian daripada usaha sama antara 1MDB dan IPIC.

Bagaimanapun, IPIC kemudian berkata Aabar BVI bukan anak syarikatnya, dan tiada satu pun daripada anak syarikatnya telah menerima wang itu, walaupun kerajaan Malaysia bertegas sebaliknya.

Ini mendorong IPIC untuk menarik diri daripada perjanjian di mana ia akan memikul tanggungjawab untuk membayar balik hutang 1MDB yang dijamin bersama olehnya, tetapi kemudian ia membuat pembayaran dan memfailkan tuntutan untuk timbang tara.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .