Beberapa pemimpin kanan Umno mungkin menjauhkan diri apabila Khairul Azwan Harun mendakwa tiga pegawai kerajaan tertinggi mahu menjatuhkan Perdana Menteri, namun Timbalan Ketua Pemuda Umno itu menjaja dakwaan 'konspirasi ' itu ke peringkat akar umbi Umno.
Bercakap semasa majlis perasmian mesyuarat sayap Umno bahagian Teluk Kemang di Port Dickson, Khairul mempertahankan laporan polis yang dibuat terhadap bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Azwan berkata, apabila beliau membuat laporan polis pada 26 Julai yang lalu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumpul sekumpulan media antarabangsa di Jakarta, Indonesia dengan niat untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Pada hari yang sama, saya terdengar Abdul Gani, Zeti dan Abu Kassim akan hadir pada sidang akhbar khas dengan mereka dijangka bercakap mengenai laporan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.
"Sidang media itu akan direkodkan dan klipnya akan dibawa terus kepada Mahathir di Jakarta. Beliau bercadang untuk berkongsi dengan seluruh media antarabangsa yang datang untuk sesi temu bual itu, " menurut Azwan.
Oleh itu, Azwan berkata, laporan polis oleh beliau telah menggagalkan rancangan itu yang bertujuan untuk menjatuhkan Najib.
No comments: