» » 13 dipanggil SPRM bantu siasatan kes rasuah 3 penjawat awam


Sebanyak 13 individu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan tiga penjawat awam termasuk 'Datuk Seri' dan 'Datuk' yang ditahan pada Isnin lepas.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kesemua mereka yang berada di ibu kota, Kelantan dan Melaka sebelum ini dicari pihak SPRM untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Mereka ini berjaya dikesan dan telah bekerjasama kepada SPRM untuk membantu siasatan.

"Mereka antara 19 orang yang dikehendaki untuk membantu siasatan kes ini.

Enam orang lagi masih dicari yang kini berada di Kuala Lumpur, Kelantan dan Melaka dan kita yakin dapat mengesan mereka beberapa hari lagi," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada terdapat di antara 13 individu itu berkhidmat di tempat sama dengan tiga individu yang ditahan itu.

Isnin lalu, tiga penjawat awam berumur lingkungan 50-an itu ditahan atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mereka bertiga masing-masing berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), ditahan di lokasi di ibu negara, Melaka dan Kelantan.

Mereka ditahan dalam operasi serentak kira-kira 12 tengah hari dan 2 petang hari yang sama.

Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan melebihi RM13 juta telah dibekukan, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang.

Turut disita beberapa unit kondominium mewah termasuk unit penthouse dan rumah banglo serta kenderaan mewah antaranya Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil rasuah dan pengubahan wang haram.

Selain itu, wang bernilai lebih kurang RM400,000, termasuk mata wang asing, serta beberapa utas jam tangan mewah juga dijumpai dalam operasi berkenaan.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .