Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), salah satu badan bebas memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak bersetuju dengan syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mahu SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa pemantauannya.
Pengerusi LPPR Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, langkah meletakkan SPRM di bawah EAIC sama sekali tidak perlu kerana di bawah undang-undang sedia ada, badan pencegah rasuah itu sudah pun berstatus agensi penguat kuasa bebas.
"Langkah meletakkan SPRM di bawah EAIC adalah sia-sia dan hanya akan menambah satu lagi lapisan birokrasi yang akan membawa kepada ketidakcekapan yang lebih buruk.
"Tidak harus wujud satu situasi di mana sesebuah agensi bersikap syak wasangka terhadap satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tunku Aziz berkata, syor EAIC itu hanya akan mewujudkan satu situasi lebih dikawal selia di Malaysia, yang kini dikenali sebagai salah sebuah negara yang paling dikawal selia.
"Apa yang Malaysia amat perlukan adalah memastikan keberkesanan agensi-agensi di bawahnya dengan tidak membentuk lebih banyak entiti kerajaan, sebaliknya meningkatkan keupayaan dalaman mereka.
"Malah, LPPR juga berpendapat meletakkan SPRM di bawah EAIC tidak sama sekali akan menjadikan SPRM lebih berakauntabiliti dalam operasinya berbanding apa yang dapat kita saksikan sekarang.
"Ini kerana, pada hakikatnya, SPRM sudah mempunyai 5 panel pemantau bebas yang menyelia operasi SPRM," katanya.
Beliau dengan itu menggesa kerajaan agar tidak meneruskan langkah meminda Akta EAIC 2009 bagi memansuhkan peruntukan yang mengecualikan SPRM daripada bertanggungjawab kepada EAIC.
Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata pada satu sidang akhbar Sabtu lalu, Akta EAIC akan dipinda bagi membolehkan lebih banyak agensi penguat kuasa, termasuk SPRM, untuk disenaraikan di bawah skopnya.
Beliau berkata, antara pindaan yang dicadangkan ialah memadam Seksyen 1(5) undang-undang itu yang mengecualikan SPRM daripada akta itu.
sumber




No comments: