Dosa boleh dianggap kesalahan umum apabila perbuatan seseorang sama ada Muslim atau bukan Muslim mencerobohi ruang awam dan membahayakan keselamatan atau merosakkan akhlak awam dan berupaya merosakkan prinsip masyarakat yang diterima ramai.
Bagi ruang peribadi atau sendiri kesalahan melakukan sesuatu perbuatan dosa tanpa pelaku menceroboh ruang awam, kesalahannya diperhitung kelak oleh Allah. Jika kita mengetahuinya maka hendaklah menasihati agar ia bertaubat dan memohon istighfar.
Rasulullah SAW bersabda: “Agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat”. Mereka (para sahabat) bertanya,"Untuk siapa, wahai Rasulullah?" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,"Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam kaum Muslimin atau Mukminin, dan bagi kaum Muslimin pada umumnya.”(hadith riwayat Muslim)
Penguatkuasaan atas jenayah dosa lebih kepada kesedaran dan pertanggungjawaban hamba dengan Allah selagi ia bukan jenayah mencabar Allah terang-terangan dan merosakkan maslahat kepentingan masyarakat sehingga lahir benci-membenci antara manusia.
Islam mewajibkan hamba Allah bertaubat pada kesalahannya dengan beristighfar dan membenci perlakuan dosa serta menghayati perasan kesal pada perbuatannya.
Tanggungjawab para ulama dan mereka yang mengetahui adalah sentiasa menasihati supaya sentiasa membenci perkara maksiat dan menekankan Kerahmatan Allah pada pelaku dosa.
Dari Abu Hurairah katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya kerahmatan-Ku itu dapat mengalahkan kemurkaan-Ku,” (Muttafaq ‘Alaih)
Peruntukan penguatkuasa agama membasmi maksiat janganlah melampaui had menceroboh ruang peribadi kerana kesalahan menceroboh ruang peribadi seseorang juga adalah satu dosa.
Allah SWT berfirman: “dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?,” (QS. Surah al-Hujurat: ayat 12)
Penguatkuasaan atas nama agama perlu dicermati malah ada keadaan tertentu yang melibatkan salah guna kuasa para penguatkuasa dan ini amatlah menjengkelkan.
Sudahlah menceroboh ruang peribadi ditambah pula salah guna kuasa. Semuanya dibuat atas nama Islam.
Dosa tetap dosa selagi ia ditetapkan oleh syara. Penguatkuasaan diperlukan terhadap perbuatan yang dianggap sebagai mencabar ajaran Islam secara terangan-terangan.
Walaubagaimanapun tindakan penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.




No comments: