Harga minyak ketika ini, yang berada pada kedudukan terendah sejak Februari 2009 memberi impak kepada negara pengeksport minyak dari segi kemerosotan nilai mata wang termasuk ringgit, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Harga minyak jenis Brent yang menjadi rujukan pasaran Eropah dan Asia ketika ini didagangkan pada harga AS$37.93 (RM163.10) setong iaitu yang terendah sejak 2009 manakala minyak jenis West Texas Intermediate (WTI) bagi rujukan pasaran Amerika Syarikat (AS) berharga AS$35.27 (RM151.66) setong.
Keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) untuk tidak mengurangkan pengeluaran minyaknya menyebabkan situasi lebihan minyak terus kekal, sekali gus menurunkan harga komoditi itu.
Akhbar itu memetik kenyataan Timbalan Menteri Minyak untuk Perhubungan Antarabangsa Iran, Amir Hossein Zamaninia yang menegaskan negaranya akan tetap melakukan penghantaran minyak meskipun harga minyak dunia rendah.
Tindakan tersebut menjadi antara punca utama kemerosotan ringgit semalam yang ditutup pada RM4.32 berbanding dolar AS.
Ia merupakan pertama kali mata wang tersebut mencecah paras RM4.30 sejak pertengahan November lalu.
Hal sama turut mempengaruhi indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI apabila susut 10.18 mata kepada 1,629.96 mata bagi sesi dagangan semalam.
Menurut ulasan harian Bursa Malaysia oleh JF Apex Securities Bhd, kejatuhan berterusan harga minyak menyebabkan kerisauan dalam kalangan pelabur.
Penganalisis HLIB Research, Nick Foo Mun Pang berkata pasaran tempatan akan terus kekal lemah disebabkan kemerosotan ringgit berpunca akibat kejatuhan harga minyak.
Harga minyak AS$37.93 (RM163.10) itu berada pada harga lebih rendah daripada yang ditetapkan kerajaan di dalam Bajet 2016 dibentangkan pada Oktober lalu, yang berlandaskan harga minyak AS$48 (RM206.4) setong
Selain kejatuhan harga minyak dunia, beberapa penganalisis antarabangsa menyifatkan langkah bank pusat AS yang bakal menaikkan kadar faedahnya serta keputusan China memperkenalkan indeks yuan menambahkan lagi tekanan kepada ringgit.
Indeks yuan menjadi piawaian kepada mata wang China untuk dibandingkan dengan 13 mata wang lain, sekali gus mampu menyebabkan mata wang China itu merosot berbanding dolar AS.
Penurunan yuan dilihat sebagai ancaman terhadap beberapa mata wang serantau lain termasuk ringgit kerana ia boleh menyebabkan eksport China menjadi lebih kompetitif.
Penganalisis Pasaran di Commonwealth Bank of Australia, Andy Ji yang dipetik daripada Bloomberg berkata, pengumuman bank pusat China itu akan membuatkan mata wang negara tersebut merosot dan boleh menjejaskan mata wang serantau lain.
sumber




No comments: