Laporan penuh yang dinanti-nantikan daripada ketua audit negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan tetapi itu mungkin bukan aspek paling penting dalam siasatan ke atas syarikat sarat hutang itu.
Ahli politik dan aktivis anti rasuah yang sudah lama mengikuti isu itu berkata laporan itu hanya sekadar mengikut skop diberikan kepada ketua audit kerana ini akan menentukan sama ada beliau boleh mendedahkan betapa teruknya skandal itu.
Satu lagi yang penting ialah adakah laporan itu akan didedahkan kepada umum, kata Cynthia Gabriel dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).
Ini akan membuktikan sejauh mana kejujuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila beliau berkata tindakan akan diambil jika sememangnya ada salah laku dalam syarikat pelaburan negara itu.
"Saya bimbang jika kita tidak berhati-hati, Laporan Ketua Audit Negara boleh menjadi pelindung kepada isu 1MDB dan akan digunakan kerajaan untuk berselindung di sebaliknya," kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
"Ini kerana bidang tugas yang diberikan kepada Jabatan Audit Negara yang saya khuatir adalah terhad dan tidak terperinci seperti sepatutnya," kata Rafizi, pengkritik utama 1MDB.
Laporan Bernama semalam memetik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Tan Sri Datuk Hasan Arifin sebagai mengesahkan laporan peguam negara ditangguhkan. Ia sepatutnya dibentangkan kepada PAC hari ini.
sumber
No comments: