Pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, seorang anak muda menduga sistem, apabila beliau mendapati dakwat “kekal” yang dicalit ke jarinya sesudah mengundi pada waktu pagi dapat dipadamkan.
Mohd Fadhli Khaharruddin, bertindak mencuba untuk mengundi sekali lagi pada sebelah petang dan beliau ternyata berjaya menewaskan sistem apabila diberikan kertas undi. Fadhli kemudiannya membawa kertas undi tersebut keluar dari bilik mengundi untuk membuat laporan.
Beliau kemudiannya ditahan kerana melakukan kesalahan membawa keluar kertas undi dari pusat mengundi di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya dan didakwa di mahkamah.
Mahkamah hari ini membebaskan Fadhli daripada pertuduhan terbabit.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ingin mengucapkan tahniah kepada beliau dan pasukan peguam yang bertungkus lumus dalam kes ini.
Bagi Bersih 2.0, keputusan mahkamah dalam kes Fadhli membuktikan sememangnya wujud keraguan dalam sistem pelaksanaan pilihanraya, terutamanya melibatkan dakwat kekal yang seterusnya membangkitkan persoalan mengenai berapa ramai lagi mungkin mengundi lebih sekali setelah berjaya memadamkan dakwat di jari.
Keputusan mahkamah ini juga mengukuhkan pendirian dan tindakan yang diambil Mejar Zaidi untuk mendedahkan masalah dakwat yang tidak kekal tersebut.
Mejar Zaidi terpaksa membayar harga yang amat mahal hanya kerana berkata benar, dan mahkamah membuktikan beliau memang berkata benar.
Masalah dakwat kekal hanyalah “tip of the iceberg” kepada permasalahan dan keraguan yang mendasar dalam sistem pilihanraya sedia ada.
Bersih 2.0 justeru mendesak respon daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, tentang ribuan laporan polis berkenaan “dakwat kekal” setelah hampir tiga tahun laporan tersebut dibuat.
Malah, pihak polis sewajarnya mengambil tindakan terhadap semua pihak yang terlibat dalam skandal dakwat kekal, termasuklah pihak bertanggungjawab dalam Suruhanjaya Pilihan Raya.
Bersih 2.0 akan terus komited untuk mendesak penambahbaikan terhadap tatakelola Suruhanjaya Pilihan Raya yang ternyata cuai, lalai dan tidak boleh diharap dalam skandal dakwat kekal ini; demi sebuah sistem demokrasi yang sihat.




No comments: