Putrajaya tidak menetapkan sebarang tempoh masa khusus untuk pasukan petugas khas menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, hal itu kerana kes berkenaan melibatkan ramai saksi dan banyak dokumen termasuk yang berada di luar negara.
"Pasukan petugas khas masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan, dan siasatan akan selesai setelah keterangan semua saksi dirakamkan dan dokumen berkaitan diperoleh.
"Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen yang banyak termasuk yang berada di luar negara maka tiada jangka masa ditetapkan untuk penyelesaian," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Zainudin Ismail yang meminta kerajaan menyatakan status terkini kedudukan pasukan berkenaan dan jangkaan laporan siasatan dapat diselesaikan.
Zainudin turut bertanya sama ada Putrajaya berhasrat untuk membentangkan laporan itu di Parlimen.
"Hasil siasatan pasukan petugas khas akan dikemukakan kepada peguam negara untuk tindakan selanjutnya," kata Nancy.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu bagaimanapun tidak menyatakan jangka masa untuk melengkapkan siasatan tersebut.
Antara anggota pasukan petugas khas itu termasuklah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
sumber




No comments: