Dalam usaha untuk mencegah amalan rasuah dalam negara, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menyatakan gaya hidup mewah seseorang individu perlu diterima sebagai bukti oleh Badan Kehakiman negara sebagai wujud elemen rasuah.
Katanya, gaya hidup mewah termasuk memiliki banyak kereta mewah merupakan salah satu petunjuk kepada berlakunya ketirisan atau rasuah.
Malah tambahnya, sekiranya mahkamah Malaysia melihat kepada faktor itu dan mengambil tindakan berdasarkan ‘petunjuk’ itu, gejala rasuah boleh dikurangkan.
"Jika anda mahu mengesan rasuah di peringkat tertinggi, lihat pada gaya hidupnya," katanya seperti dilapor Malaysian Insider dalam ucaptama pada Simposium Peperangan Malaysia Menentang Rasuah 2015 di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas bekas presiden parti UMNO itu lagi, seseorang yang mengamalkan rasuah tidak akan mampu mengawal diri daripada berbelanja, sebaliknya akan menggunakan wang tersebut kerana dikhuatiri akan menemui ajal sebelum ia sempat dibelanjakan.
"Tidak seronok jika kumpulkan wang berkotak-kotak dan kemudiannya mati.
"Malangnya, jika anda pergi ke mahkamah undang-undang, bukti seperti itu tidak cukup. Mahkamah mahu lihat orang tampil ke depan dan berkata, 'dia mengambil wang daripada saya'.
"Mahkamah perlu menerima gaya hidup mewah sebagai bukti mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang disyaki rasuah,” ujarnya.
Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan media antarabangsa yang melabelkan Malaysia sebagai ‘Negara Paling Rasuah’ selepas kedudukan negara dalam Indeks Transparency International menunjukkan perubahan positif.
"Ketika ini Malaysia berada pada kedudukan 50 daripada 175 negara, meningkat tiga tempat daripada tahun sebelumnya. Jika kita negara paling korup, kenapa kita tidak berada hampir dengan kedudukan 175?,” katanya.




No comments: