Polis perlu menghentikan siasatan terhadap pendedah maklumat Akmal Nasir kerana mendakwa penyalahgunaan dana dalam sebuah yayasan kebajikan kerajaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada mereka yang dituduh, kata pemantau anti-rasuah C4 hari ini.
C4, atau Centre to Combat Cronyism and Corruption, juga menggesa untuk pengauditan yang lebih tegas dilakukan ke atas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi memastikan tiada dana awam disalahgunakan.
Pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata langkah tegas dalam pengurusan wang yayasan itu juga perlu untuk menghentikan nepotisme dan kronisme.
Laporan polis dibuat terhadap Akmal, yang mengetuai Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat (NOW), dan beliau kini disiasat kerana memperolehi dokumen rahsia.
Cynthia, bagaimanapun, berkata dokumen disahkan sebagai sahih pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin.
"Daripada menyiasat dakwaan-dakwaan yang mengejutkan ini, polis memburu pemberi maklumat – Akmal Nasrullah Mohd Nasir – yang kemungkinan menghadapi tuduhan jenayah kerana memiliki dokumen dalaman untuk menyokong dakwaannya.
"Laporan polis dibuat terhadap Akmal, manakala yang tertuduh bebas begitu sahaja, dan tanpa rasa takut ditangkap atau diketahui.
"Ini bukan kali pertama, di mana pendedah maklumat menjadi sasaran utama berbanding pelaku yang didakwa."
Cynthia berkata, "tiada gesaan" daripada pihak berkuasa untuk mencari kebenaran atau menyiasat dalang yang sebenar.
Sebaliknya, terdapat "gesaan untuk menutup mulut pengkritik dan pemberi maklumat".
Yapeim sedang dalam perhatian disebabkan pelbagai dakwaan salah laku pimpinan tertingginya, termasuk pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi dan pelbagai jawatan dalam yayasan itu dan anak-anak syarikatnya yang membolehkan mereka mendapat elaun besar.
Yayasan itu juga dituduh menghabiskan beratus-ratus ribu untuk kursus perkahwinan dan agama di luar negara, dan membiayai lawatan menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke New York di Amerika Syarikat.
Pengerusi dan timbalan yayasan itu dikatakan diarahkan bercuti sementara siasatan itu dijalankan, tetapi Jamil menafikannya semalam.
C4 berkata untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka, polis perlu memberi perhatian kepada pesalah yang didakwa dan bukannya Akmal.
C4 juga menggesa ahli-ahli Parlimen untuk menggubal undang-undang melindungi pendedah maklumat daripada pendakwaan dan menggubal akta kebebasan maklumat.




No comments: