Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh "melepaskan tanggungjawab" dengan menyalahkan faktor luaran sebagai punca kepada masalah di negara ini, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, sambil memetik 5 faktor yang menurutnya menjadi penyumbang masalah.
Lim berkata, Najib bersalah kerana terlibat dalam "sindrom penafian yang serius" apabila enggan mengakui yang walaupun penurunan harga minyak memberi kesan besar ke atas kejatuhan nilai ringgit, krisis keyakinan yang berpanjangan dan kemelut politik di negara ini juga antara faktor utama yang menjejaskan ekonomi.
"Saya tidak fikir Najib akan dapat banyak simpati atau sokongan kepada cubaannya 'melepaskan tanggungjawab' dan menyalahkan faktor luaran untuk masalah di negara ini," kata ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Najib malam tadi yang menggesa rakyat Malaysia tidak menuding jari kepada kerajaan semata-mata dalam mencari punca kemerosotan nilai ringgit, kerana katanya, faktor utamanya berbentuk luaran dan di luar kawalan kerajaan.
Ringgit merupakan mata wang yang paling lemah di Asia tahun ini, mencapai nilai terendah dalam tempoh 17 tahun dan jatuh kepada lebih RM4 berbanding dolar AS pada masa ini.
Lim berkata, 2 faktor mengapa Najib tidak boleh mengalihkan tanggungjawabnya terhadap masalah negara kepada faktor luaran adalah: wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau dan skandal sekitar firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tiga lagi ialah siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ke atasnya, keretakan dalam kerajaan termasuk apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat syarikat Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd, dan penarafan populariti beliau, termasuk di kalangan pengundi Melayu, yang jatuh teruk ketika ini.
"Lima faktor ini digabungkan bersama membuatkan Najib secara peribadi bertanggungjawab atas pelbagai krisis serius yang melanda Malaysia – dari segi ekonomi, politik, tadbir urus yang baik dan pembangunan negara – hinggakan penganalisis bercakap tentang pendekatan 'ribut sempurna' (perfect storm) yang akan melanda negara ini.
"Daripada membuang masa menafikannya, Najib perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia apa yang dilakukannya mengenai krisis keyakinan yang berpanjangan yang menghantui beliau dan pentadbirannya, khususnya 'derma' RM2.6 bilion dan skandal 1MDB," katanya.




No comments: