» » NADIA BRIAN sensasi baru dalam dunia seni Malaysia


DRAMA Akulah Balqis yang kini sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3 bukan sahaja menyaksikan kehebatan lakonan Puteri Balqis, Nabila Huda dan Aeril Zafrel, malah turut memperkenalkan seorang sensasi baru dunia seni, iaitu Nadia Brian.

Memegang watak Milda isteri kepada Adi (lakonan Nazim Othman) di dalam Akulah Balqis pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 7.00 petang membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah sebenarnya jelitawan berwajah pan asia ini?

Menggunakan nama pentas Nadia Brian, mengambil dari nama datuk sebelah ibunya yang berasal dari Australia. Nadia juga berketurunan mamak di sebelah bapa.

Graduan dalam bidang Penyiaran, Universiti Teknologi Mara ini dibawa masuk ke dunia lakonan oleh penerbit Erma Fatima yang juga penerbit Akulah Balqis. Perkenalan dengan Erma beberapa bulan lalu membawa Nadia ke bidang yang diminatinya sejak kecil.

“Saya sudah menjadi model sambilan sejak berusia 18 tahun. Saya mula berkenalan dengan Erma apabila beliau mencari model untuk koleksi fesyen raya miliknya. Kemudian seterusnya memberi tawaran berlakon dalam Akulah Balqis.

“Drama ini menjadi titik awal saya serius berlakon kerana sejak kecil lagi saya memang meminati bidang seni. Jadi saya akan memberikan 100% komitmen.

“Dalam drama pertama, saya banyak belajar dari pengarah dan pelakon-pelakon yang lain. Malah saya banyak melihat kehebatan lakonan Puteri Balqis ketika di set penggambaran.

“Saya tidak pernah mimpi akan terjadi seperti ini dan tidak merancang untuk berjumpa Erma atau mana-mana penerbit. Syukur segala-galanya berlaku dengan baik,” ujar Nadia memula bicara kepada Mangga Online.

Memiliki wajah yang cantik menjadi pakej pelengkap buat Nadia selain bakatnya sendiri. Bagaimanapun pemilik nama Nadia Najwa Mohamed Rashidi ini tidak mahu kecantikan menjadi sandaran untuk membina nama sebagai anak seni.

Bukan hanya jual wajah malahan mempersembahkan bakat lakonan untuk bersaing sihat dengan pelakon-pelakon wanita sedia ada.

Melangkah ke dunia hiburan, Nadia juga sudah bersedia menghadapi segala liku hidup anak seni.

“Orang memberi pujian kerana cantik, saya hanya boleh bersyukur. Namun saya tidak mahu masuk ke dunia seni ini dengan bersandarkan pada paras rupa sahaja.


“Erma sendiri pernah memberitahu saya jika hanya berdasarkan pada rupa, bakat seorang pelakon itu hanya akan berlalu begitu sahaja. Apa yang penting ialah usaha untuk berjaya dalam bidang ini.

“Ketika zaman belajar lagi saya sudah mendengar pengalaman daripada pensyarah yang kebanyakannya adalah bekas wartawan.

“Saya juga pernah membuat liputan berita hiburan. Jadi sudah sedikit biasa dengan dunia hiburan.

“Apabila berlakon saya tidak ada masalah untuk memulakan sesuatu yang baru.

“Dari teori yang saya belajar sebelum ini, sekarang saya hanya perlu praktikkan sahaja dalam dunia realiti.

“Mula melibatkan diri dalam lakonan menjadikan saya seorang yang lebih matang dan bertanggungjawab.

“Saya perlu fikirkan kerja dan menjaga keluarga. Walau sibuk, namun ia untuk kebaikan,” ujar Nadia.

Mangga Online juga sempat bertanyakan soal hati pelakon ini dan Nadia akui dirinya masih solo.

“Saya belum ada kekasih dan rasanya tolak tepi dahulu soal bercinta. Saya yang memilih bidang lakonan dan harus memberikan fokus yang lebih,” ujarnya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .