Pemantau hak asasi manusia dan pembaharuan undang-undang 'Lawyers for Liberty' (LFL) mengecam serbuan pihak berkuasa ke atas bilik berita Malaysiakini dan The Star dan menyifatkan tindakan seumpama itu keterlaluan dan tidak perlu.
Pihak polis yang disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu dua organisasi media Jumaat lalu berhubung laporan mereka mengenai pemindahan seorang timbaan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam siasatan berhubung dana yang disalurkan ke akaun bank perdana menteri.
Pengarah Eksekutif LFL Eric Paulsen dalam satu kenyataan berkata tindakan menyerbu itu sebagai ‘keterlaluan’.
"Jika laporan berita tersebut didapati tidak tepat atau mengelirukan, tindak balas yang betul adalah untuk menafikan laporan itu dan meminta organisasi berita supaya menarik balik atau membuat pembetulan," katanya.
"Reaksi keterlaluan terhadap laporan yang sahih - disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri di Parlimen bahawa timbalan pendakwa raya itu sememangnya dipindahkan - amat mengganggu fikiran.”
Paulsen berkata serbuan itu menghantar "mesej yang kuat dan menakutkan" kepada pihak media supaya mengelakkan isu-isu kontroversi terutamanya skandal 1MDB.
"Adalah jelas bahawa serbuan tidak perlu kerana siasatan boleh dilakukan dengan kerjasama organisasi berita.
"Pihak berkuasa perlu diingatkan bahawa kewartawanan bukan jenayah dan kebebasan akhbar kekal sebagai komponen penting dalam mana-mana masyarakat moden dan demokratik," katanya.
Semasa lawatan kedua, di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, semalam, pihak berkuasa merampas sebuah omputer riba milik seorang wartawannya.
Pihak berkuasa turut menyoal seorang wartawan dari The Star mengenai perkara yang sama semalam.
Jumaat lalu, mereka juga merampas sebuah komputer, masing-masing dari Malaysiakini dan The Star.
Pada 2 November lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya (SPRM) Ahmad Shazalee Abdul Khairi dipindahkan.
Beliau adalah sebahagian daripada pasukan yang menyiasat dakwaan bahawa dana RM42 juta dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali menafikan bahawa Ahmad Shazalee dipindahkan keluar daripada SPRM tetapi laporan Malaysiakini tidak menyebut mengenai perkara itu.
Rabu lalu, Nancy memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ahmad Shazalee telah dipindahkan secara dalaman.




No comments: