» » Bank Negara akan nilai lebih lanjut pelaburan 1MDB lepas peroleh semua maklumat,


Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai lebih lanjut pelaburan luar negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebaik saja semua maklumat yang diminta diperoleh dan disahkan, kata gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Selain itu, katanya, pelan penyusunan semula syarikat tersebut yang dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini juga akan diambil kira, sambil menambah sebarang penilaian yang dibuat sebelum itu dianggap sebagai terlalu awal.

"Jadi, BNM kini menilai maklum balas 1MDB kepada arahan pentadbiran ini, dan 1MDB menyatakan secara umum dana bagi penebusan pelaburan luar negara ini digunakan dan juga diperuntukkan bagi pertukaran hutang-bagi-aset sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula mereka.

"Jadi bank pusat sedang mengesahkan ini sekarang... dan akan mengambil kira sebarang komitmen terikat yang dibuat 1MDB di bawah pelannya yang akan membantu mengurangkan bebanan hutangnya," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ke-3 negara di Bank Negara, hari ini.

Zeti berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai bila bank pusat akan meneruskan siasatannya terhadap kegagalan 1MDB untuk menghantar pulang AS$1.83 bilion daripada pelaburan luar negaranya.

Bulan lepas, bank pusat mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada syarikat itu untuk menghantar pulang dana tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, BNM menyatakan ia juga membatalkan kebenaran yang diberikan terdahulu kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran 1953 bagi pelaburan luar negara.

Zeti berkata keputusan bank pusat untuk membatalkan kebenaran itu adalah berdasarkan kepada dapatannya kebenaran itu diperoleh 1MDB berasaskan kepada pendedahan yang tidak tepat dan tidak lengkap berkaitan maklumat material relevan.

Beliau berkata bank pusat sebenarnya menolak permohonan syarikat tersebut tahun lepas untuk mendapatkan lebih banyak dana bagi pelaburan luar negara kerana ia gagal mematuhi peraturan bank itu.

"Pada 2014, permohonan mereka juga ditolak, dan justeru itu, sekiranya mana-mana syarikat tidak mematuhi peraturan kami atau tidak menyerahkan maklumat yang lengkap, permintaan untuk melabur di luar negara akan ditolak.

"Peraturan dalam sistem kewangan mempunyai tujuan, dan ia berjaya dalam negara ini kerana selama lebih 50 tahun sekarang, kita mempunyai sistem kewangan yang kukuh dan efektif," katanya.

Zeti berkata mana-mana pelabur yang membuat pelaburan di luar negara perlu menyediakan butiran terperinci urus niaga mereka masing-masing dan status pelaburan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan bank itu.

"Pelabur lain juga perlu sedar yang sekiranya mereka mahu melabur besar-besaran di luar negara yang melebihi had RM100 juta, mereka perlu menyerahkan bukan saja borang tetapi juga maklumat terperinci mengenai pelaburan itu.

“Dan BNM akan terus meminta maklumat dan sekiranya maklumat tidak disediakan, permohonan pada masa depan akan ditolak, dan dalam kes 1MDB, saya percaya selepas itu, permohonan mereka ditolak," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .