» » AYDA JEBAT minta tidak dikaitkan dengan Zul Ariffin


ADA yang melihat kemunculan pelakon Ayda Jebat, 23 dan Zul Ariffin, 29, di atas pentas ketika menerima trofi Drama Rantaian Popular Media Sosial di Anugerah Skrin 2015 baru-baru ini seperti kekok sedangkan mereka pernah dikatakan sangat rapat selepas bergandingan di dalam drama Rindu Awak 200%.

Nama dua figura ini memang selalu disebut bersama lantaran drama mereka mendapat sambutan hangat. Sehingga apa sahaja isu berkaitan Zul Ariffin pasti nama Ayda terbabit sama. Begitu juga sebaliknya.

“Saya sendiri tidak sedar mengapa keadaan begitu kekok pada ketika itu. Kenapa jadi sebegitu saya sendiri tidak tahu nak jawab.

“Mungkin disebabkan beberapa perkara yang membuatkan saya rasa tidak mahu lagi terpalit dek sebarang kontroversi atau cerita yang membabitkan Zul,” ujar Ayda kepada Mangga Online.

Pastinya Ayda bercakap tentang hubungan terbaru Zul Ariffin bersama pelakon Zahirah MacWilson. Tetap namanya disebut-sebut sebagai orang yang pernah rapat dengan Zul sebelum ini.

“Apabila ada cerita yang keluar tentang Zul pasti nama saya juga disebut sama. Ia bukanlah sesuatu yang bagus untuk saya.

“Sebelum ini pun bapa Zahirah ada menyebut nama saya apabila ditanyakan tentang hubungan anaknya dengan Zul. Kalau boleh janganlah sebut nama saya lagi.

“Kenapa saya perlu menjawab apabila timbul cerita yang tidak ada kaitan dengan saya. Isu Zul sekarang sedang panas diperkatakan. Lebih baik saya diam dan tidak masuk campur. Janganlah kaitkan nama saya dalam hal yang melibatkan Zul.

“Saya dan Zul masih berkawan seperti biasa. Selepas tamat penggambaran drama Rindu Awak 200% pun kami jarang berhubung kecuali ada sesi fotografi bersama atau majlis yang menjemput kami berdua,” jelas Ayda.

Ayda bagaimanapun tidak menolak jika beliau dan Zul sekali lagi digandingkan bersama dalam drama kerana sedar akan pemintaan ramai peminat yang mahu melihat mereka kembali bersatu.

“Saya tidak ada masalah untuk bekerjasama kembali. Kami pernah melakukannya secara profesional dalam dua drama sebelum ini.

“Cuma sekarang saya dan Zul sibuk dengan jadual penggambaran masing-masing. Kalau ada tawaran selepas ini dan masa sesuai, saya akan terima,” jawabnya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .