Umno sudah tidak tahan dengan kenyataan "tidak masuk akal" yang dikeluarkan segelintir ahlinya dan memutuskan akan menggantung keahlian mereka yang didapati bersalah melanggar perlembagaan parti, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Setiausaha Agung parti itu berkata, Umno kini sudah “letih” dan “penat” dengan 7 ahli mereka yang ketika ini berada dalam perhatian kerana sering mengeluarkan kenyataan yang bukan untuk orang awam.
"Kita letih dan penat dengan ahli yang keluarkan kenyataan bukan untuk orang ramai. Kita siasat dan tengok hasil siasatan. Ada 7 orang, saya tidak mahu namakan mereka.
"Mereka tahu siapa diri mereka, parti kita ada set perlembagaan sendiri, jawatankuasa disiplin. Kita ada kod etika. Kita tidak mampu hendak berdepan 'kegilaan' ini lagi," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Putrajaya yang lebih dikenali sebagai Ku Nan itu menambah,"kalau tidak suka dengan parti, tinggalkan parti. Kita tidak mahu anak anai-anai."
Katanya, lembaga disiplin Umno kini sedang dalam proses menjalankan siasatan terhadap kesemua individu tersebut.
"Saya tidak mahu komen, jawatankuasa yang jalankan tugas," katanya yang juga menteri wilayah persekutuan.
Ku Nan berkata, sebaik sahaja siasatan mereka selesai, hasil siasatan itu akan dibentangkan kepada Majlis Presiden sebelum lembaga presiden membuat sebarang keputusan.
"Sepanjang tempoh itu kita akan gantung keahlian mereka," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada mereka yang disiasat itu mempunyai kedudukan dalam Umno.
Pada 5 Oktober, Ku Nan berkata 7 pemimpin Umno sedang dipantau dengan kemungkinan tindakan disiplin diambil terhadap mereka.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai sama ada parti Melayu itu akan mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkali-kali menggesa peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, mengulas tindakan pembatalan mesyuarat ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dijadualkan pada Jumaat, Ku Nan berkata hari ini, ia perkara biasa.
"MT batal perkara biasa, kalau tiada benda nak dibincangkan, kita batalkan," katanya.
Mesyuarat MT itu dibatalkan untuk kali kedua selepas Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal disingkirkan daripada Kabinet.
sumber
No comments: