Empat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada PAS dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menggantikan mereka yang dilantik ke Kabinet hujung Julai lalu.
Nama mereka dilihat The Malaysian Insider dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang ditandatangani Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Ahli Parlimen Putatan daripada BN, Datuk Dr Makin @ Marcus Mojigoh, dilantik menggantikan Datuk Madius Tangau yang dijadikan menteri teknologi, sains dan inovasi pada Julai.
Sementara itu, Ahli Parlimen BN Datuk Ahmad Hamzah (Jasin) menggantikan Datuk Mas Ermieyati Shamsudin, dan Datuk Nawawi Ahmad (Langkawi) menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mas Ermieyati dan Reezal dilantik timbalan menteri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam rombakan Kabinetnya itu.
Selain itu, Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Koh Nai Kwong turut dilantik menggantikan wakil MCA, Datuk Chua Tee Yong, yang dilantik menjadi timbalan menteri kewangan pada Jun tahun lalu.
Manakala ahli Parlimen PAS Datuk Takiyuddin Hassan dilantik menganggotai PAC menggantikan Datuk Kamarudin Jaafar yang menyertai PKR bulan lalu. Takiyuddin juga merupakan setiausaha agung PAS.
PAC kini mempunyai 14 ahli termasuk pengerusi baharunya, Datuk Hasan Arifin yang merupakan ahli Parlimen Rompin daripada BN.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, daripada DAP, Tony Pua yang baru-baru ini menerima kritikan susulan kenyataannya yang kritikal terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kekal dalam jawatankuasa itu.
sumber
No comments: