Terlalu banyak autonomi dalam pendidikan dan sekolah boleh memburukkan lagi ketidaksamaan antara segmen masyarakat dan membawa kepada pelbagai jenis sekolah yang menjaga kepentingan mereka sendiri tanpa memenuhi keperluan masyarakat secara keseluruhannya, kata seorang pendidik.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Asia Pasifik Nina Adlan Disney berkata, jika mengambil kira skor Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) sebagai petunjuk pencapaian akademik, terdapat kaitan yang jelas antara negara berautonomi tinggi dan skor Pisa, seperti di Finland.
"Sebagai contoh, orang mengatakan di Finland, tidak ada kurikulum kebangsaan, guru boleh melakukan apa yang mereka mahu, yang mana ini tidak menjadi satu masalah dalam konteks negara itu, kerana mereka mempunyai profesion perguruan yang amat didorong, bermotivasi dan berkeupayaan tinggi.
"Saya fikir jika anda memberikan tahap autonomi yang sama kepada sekolah kerajaan Malaysia, ia tidak akan berjaya, melainkan jika anda benar-benar mempunyai keghairahan dan keupayaan menggunakan kebebasan itu dengan cara yang positif.
"Autonomi boleh memburukkan lagi ketidaksamaan," katanya pada forum bertajuk 'Mengintai ke dalam Sekolah Swasta di Malaysia – Adakah ia benar-benar lebih baik daripada sekolah kerajaan?' yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Pendidikan swasta menjadi semakin popular di Malaysia bagi mereka yang berkemampuan, di tengah-tengah kebimbangan taraf sekolah kerajaan yang menurun.
Menurut Nina, sekolah swasta mengunakan 3 aspek autonomi – pembiayaan, kakitangan dan kaedah penyampaian - untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka.
Beliau berkata, bagaimanapun, autonomi saja tidak cukup menghasilkan pencapaian yang tinggi dan oleh itu, ia tidak boleh menjadi dasar tunggal.
"Hanya kerana anda memberi kebebasan kepada sekolah untuk melakukan apa yang mereka mahu tidak bermakna mereka akan bertambah baik.
"Ia mesti dalam konteks menggunakan autonomi itu bagi mendorong pengajaran dan pembelajaran dan meningkatkan kecekapan operasi," katanya.
Oleh itu, Nina berkata, jika wawasan negara ialah untuk memberi peluang pendidikan sama rata, pemberian autonomi saja tidak cukup kerana sekolah yang pelbagai jenis itu akan melakukan apa yang mereka mahu dalam konteks mereka sendiri.
"Jika anda memberi autonomi kepada sekolah tertentu, mereka akan mempunyai agenda tersendiri, dan berkhidmat kepada komuniti serta ibu bapa mereka sendiri.
"Mereka akan meneruskannya berdasarkan kepada keutamaan mereka sendiri. Itulah apa yang berlaku di Malaysia, pada tahap tertentu.
"Terdapat sekolah swasta, sekolah vernakular, sekolah antarabangsa, dan setiap sistem ini bekerja untuk kepentingan mereka sendiri.
"Amat sukar untuk melihat gambaran yang lebih besar, dan apa perlunya, kerana mereka hanya berkhidmat untuk masyarakat mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata sistem yang berpecah-belah itu juga menimbulkan cauvinisme dalam kumpulan berbeza, cenderung melahirkan cauvinisme Cina dan cauvinisme Islam, memandangkan kewujudan pelbagai jenis sekolah.
"Ironinya, percampuran yang paling besar ialah di sekolah swasta dan antarabangsa. Tetapi, itu pun, di kalangan berpendapatan sederhana yang memang suka untuk bergaul. Dalam segmen masyarakat lain, integrasinya sangat sedikit.
"Kita perlu tangani perkara ini sebagai isu utama menggerakkan masyarakat ke depan," kata Nina.
Seorang lagi ahli forum, Pengarah Iman Research, Altaf Deviyati menyokong konsep desentralisasi, dengan alasan pendidikan di Malaysia terlalu berpusat.
"Tetapi itu tidak bermakna anda meletakkan segala-galanya kepada sekolah dan hanya meninggalkannya begitu saja. Anda perlu berperanan di peringkat negeri.
"Kami dapati, sekolah yang cenderung mendapat penyertaan lebih besar daripada komuniti terdekat, misalnya apabila guru datang daripada masyarakat itu sendiri, mempunyai pengaruh penting ke atas pembelajaran kanak-kanak.
"Desentralisasi tidak akan menyelesaikan segala-galanya, tetapi ia satu langkah menjurus ke arah rasa memiliki," katanya.
sumber
No comments: