Isu dihadapi pengundi Sarawak, dengan tidak sampai 6 bulan sebelum pilihan raya negeri, ialah sama ada untuk terus menyokong seorang ketua menteri yang popular atau tidak, kerana pada hakikatnya, ia juga akan bermakna mengundi untuk perdana menteri yang tidak popular.
Malah ahli parti pembangkang turut mengakui, populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem selepas kira-kira 18 bulan menjawat jawatan itu boleh menjejaskan peluang mereka membuat lebih banyak kemajuan di negeri Borneo ini, yang sebahagian besarnya luar bandar.
Tetapi, Adenan adalah ahli Barisan Nasional (BN), dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak, yang juga perdana menteri, tetapi tidak disukai ramai berdasarkan kaji selidik terbaru badan bebas Merdeka Centre.
Najib berada di bawah tekanan berhubung salah laku kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara diilhamkannya, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan juga pemindahan wang sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya yang tidak dapat dijelaskan.
Sentimen seorang pemandu teksi di Kuching menggambarkan bagaimana sukarnya menentang Adenan, 77, yang popularitinya melonjak selepas beliau memansuhkan tol jambatan, memotong tambang feri sungai dan mengisytiharkan perang terhadap pembalak haram.
Sarawak negeri terbesar di Malaysia dan juga negeri paling luar bandar kerana kawasan pedalamannya yang luas.
"Saya sudah 4 kali undi DAP dalam pilihan raya lalu, tetapi kali ini saya akan undi BN kerana ketua menteri sangat bagus," kata pemandu teksi itu kepada The Malaysian Insider.
"Dia hanya minta diberi tempoh 5 tahun saja lagi. Jadi kenapa kita tidak boleh bagi dia peluang kali ini, selepas dia banyak buat baik selepas jadi ketua menteri," katanya.
Antara keputusan penting dibuat Adenan adalah menghapuskan tol bagi jambatan Asean Miri-Brunei dan jambatan Lanang di Sibu.
Warga Sarawak yang menggunakan jambatan Miri-Brunei akan jimat RM10 bagi setiap perjalanan manakala mereka di Sibu boleh berjimat antara RM3 dan RM15, bergantung kepada jenis kenderaan.
Beliau juga menurunkan tambang feri di Sungai Baram yang berulang alik dari Miri ke Marudi.
Adenan, yang menjadi ketua menteri pada Februari tahun lepas, sangat berbeza dengan pendahulunya Tun Abdul Taib Mahmud yang penuh kontroversi, sepanjang pemerintahannya selama 33 tahun itu sentiasa dibelenggu tuduhan rasuah.
Pemimpin baru ini berjanji akan mendapatkan daripada kerajaan persekutuan, bahagian yang lebih besar daripada hasil minyak Sarawak, dengan menaikkan royalti petroleum kepada 20% daripada 5% sekarang.
Beliau juga gigih dalam usaha menyiapkan Lebuhraya Pan-Borneo yang sudah lama tertangguh, dijangka akan mengembangkan pengangkutan utama menghubungkan semua bandar besar di Sabah dan Sarawak.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa satu tinjauan Merdeka Center pada Julai mendapati, tahap penerimaan Adenan berada pada 74%.
Pengarah pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak Mohamad Jolhi berkata pembangkang terpaksa bekerja lebih kuat kali ini untuk mengatasi nama baik Adenan.
"Saya jangka DAP pun boleh berkurangan kerusi dalam pilihan raya ini, apatah lagi PKR, dengan rekod baik yang ditunjukkan Adenan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Sehubungan itu, mereka perlu bekerja keras untuk menjelaskan kepada rakyat apa masalah mereka sebenarnya jika BN terus dikekalkan.
Walaupun berdepan tugas yang sukar, beliau menjangkakan Amanah akan sekurang-kurangnya memenangi 1 kerusi dalam pilihan raya yang akan disertai parti itu buat pertama kalinya nanti.
"Kita kena kuatkan pembangkang dalam pilihan raya ini agar rakyat boleh mendapat lebih banyak manfaat," katanya.
Pemimpin pembangkang Sarawak lain pula berpendapat, isu besar yang disebabkan dasar Najib akan memihak kepada mereka dalam pilihan raya ini kerana ia mempunyai kesan lebih besar daripada keputusan dibuat Adenan.
"Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kehilangan wang negara sangat menyusahkan rakyat Sarawak, bukan di Semenanjung saja," kata Jofri Jaraee, pesuruhjaya PAS Sarawak.
Beliau yakin PAS akan membuat pencapaian lebih baik kali ini, dengan parti itu menyasarkan sekurang-kurangnya 1 kerusi selepas tidak mendapat sebarang kerusi dalam pilihan raya sebelum ini.
Beberapa pemimpin pembangkang yakin mereka akan melakukan lebih baik dalam pilihan raya yang dijangka sebelum Mac tahun depan.
"Saya jangka DAP akan meningkatkan kerusinya daripada 12 sekarang kepada 24 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang,"kata Abdul Aziz Isa, pemimpin Melayu DAP Sarawak yang menolak rekod baik Adenan akan menyusahkan mereka dalam pilihan raya negeri nanti.
"Saya yakin, bila kita turun menerangkan perkara ini kepada rakyat mereka akan sedar apa yang Adenan buat hanya permainan persepsi saja ketika beliau hanya baru satu penggal mentadbir," kata Aziz.
Katanya, kebaikan Adenan tidak cukup besar untuk menutup masalah yang dihadapi rakyat Sarawak akibat dasar dan sikap pemimpin BN di Semenanjung.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Sarawak Baharuddin Mokshen berkata, pendekatan diambil Adenan itu hanya akan memberi kesan kepada pengundi bandar, terutamanya pengundi Cina.
Katanya, pengundi luar bandar tetap menghadapi masalah yang sama dan ini boleh memberikan kesan positif kepada pembangkang dalam pilihan raya akan datang.
"Saya yakin, PKR akan boleh meningkatkan kerusinya daripada 3 sekarang kepada 10 dalam pilihan raya kali ini," katanya kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun, Adenan dilaporkan berkata semalam, pembangkang tidak boleh menyamakan undi untuknya dengan undi untuk Najib dan masalah 1MDB.
"1MDB tidak ada kena mengena dengan Sarawak. Saya tidak tahu pun apa itu 1MDB hinggalah 6 bulan lalu. Kini, pembangkang cuba mengaitkan saya dengan Najib," katanya dipetik sebagai berkata kepada portal berita Malaysiakini.
sumber
No comments: