Ada khabar angin bertiup mengatakan pelakon Reen Rahim bakal menamatkan zaman bujang. Cerita bermula apabila Reen sendiri dikatakan menghubungi seorang pereka fesyen untuk membuat tempahan baju pertunangan.
Saat diajukan soalan berkaitan isu tersebut, pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim ini terkejut dan hairan apabila semakin ramai bertanyakan soalan sama.
“Sebenarnya semua itu salah faham. Saya meminta pereka fesyen tersebut membuat baju untuk penggambaran sebuah babak bertunang.
“Belum sempat berbincang panjang, talian terputus dan kebetulan bersamanya ada beberapa lagi orang lain yang turut mendengar perbualan itu. Dari situlah puncanya ramai orang bertanyakan kepada saya pasal kahwin.
“Mungkin juga sebelum ini saya selalu bergurau akan berkahwin tahun hadapan. Tak sangka pula ia jadi perkara serius. Apa pun setiap kata itu adalah doa. Mungkin saya akan bertemu jodoh tahun depan.
“Apa yang boleh dikatakan, saya sudah ada kekasih dan tidak sorok tentang perkara itu namun tidak mahu bercerita panjang,” jelas Reen .
Reen hadir ke studio Utusan Karya, Bandar Baru Bangi bagi mempromosikan filem terbarunya, Mirip. Filem ini turut menampilkan Fezrul Khan dan Ezzaty Abdullah.
Menerusi filem ini Reen berpeluang menimba pengalaman baru bekerja dengan produksi Bollywood. Meski menghadapi sedikit kesukaran dari segi komunikasi, namun Reen tidak ada masalah merealisasikan watak Wilma.
“Pertama kali bertemu dengan pengarah dia sudah menceritakan keseluruhan jalan cerita walau saya bukanlah pelakon pertama yang berjumpa dengannya. Jadi dari situ sudah mula rasa tertarik untuk berlakon.
“Cabaran berat pastinya babak di mana saya perlu menari dan menyanyi. Bukan mudah untuk kekalkan senyuman sambil menari di bawah panas matahari.
“Bagaimanapun ia satu pengalaman baru buat saya bekerja dengan produksi luar. Mereka membawakan set yang besar dan semangat kekeluargaan di kalangan tenaga produksi sangat kuat,” cerita Reen.
Mirip memaparkan kisah pemuda bernama Nik (lakonan Fezrul Khan) yang merupakan seorang penyanyi jalanan. Dia kemudian berjumpa dengan Irwan, penyanyi terkenal dari bandar yang memiliki wajah serupa.
Irwan membawa Nik ke Kuala Lumpur selepas mendapat tahu lelaki itu juga punya bakat dalam bidang nyanyian. Wilma (Reen Rahim) bertanggungjawab mengubah penampilan Nik menjadi seorang penyanyi terkenal.
Nik yang asalnya hidup sederhana tiba-tiba memasang impian untuk menjadi kaya selepas melihat kehidupan Irwan.
No comments: