Bajet 2016 yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu disifatkan sebagai belanjawan paling teruk pernah dibentangkan perdana menteri selama ini, kata Pakatan Harapan hari ini.
Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli berkata, dakwaan itu dibuat kerana Pakatan mendapati dasar yang diumumkan di bawah peruntukan bajet itu jelas menunjukkan kerajaan cuba mengalihkan bebannya kepada rakyat.
Beliau berkata sumber pendapatan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini bergantung kepada harga minyak mentah terjejas kerana penurunan komoditi tersebut.
"Dengan kejatuhan harga minyak mentah, tiba-tiba hasil lumayan turun mendadak. Kerajaan sendiri menjangkakan hasil daripada sumber petroleum menurun sekitar RM30 bilion dalam tahun 2015," katanya.
Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan, bercakap bagi pihak Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan yang turut dianggotai ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen (PKR), ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (Amanah) dan ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong (DAP).
Beliau berkata, oleh itu kerajaan tetap bertegas melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang perlu ditanggung oleh semua rakyat.
"Dalam Bajet 2016, pentadbiran Najib mengalihkan beban membayar hasil ini daripada syarikat gergasi minyak kepada rakyat biasa.
"Lompong hasil sebanyak RM30 bilion ini dijangka akan terus ditampung rakyat biasa yang akan membayar cukai lebih tinggi," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
sumber
No comments: