Pakar ekonomi menjangkakan lebih banyak yang boleh diperolehi dari Bajet 2016 yang sepatutnya melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun lagi.
Penganalisis ekonomi Dr Muhammad Abdul Khalid berpandangan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara tidak sengaja mendedahkan dalam ucapannya semalam, negara ini belum sepenuhnya berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dalam tempoh empat tahun.
"Menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu berkembang sebanyak 6% setiap tahun untuk Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi, tetapi Najib berkata KDNK hanya akan tumbuh antara 4% dan 5% pada 2016.
"Malah tahun ini, KDNK dijangka berkembang antara 4.5% dan 5.5% tahun ini, bukan 6%," kata Muhammad kepada The Malaysian Insider.
Katanya, Najib yang juga menteri kewangan, juga tidak menangani hakikat yang penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS akan lebih menyukarkan negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Beliau menjelaskan, sebuah negara berpendapatan tinggi memerlukan KDNK per kapita pada AS$15,000, tetapi dengan ringgit yang lemah, Malaysia tersasar sebanyak 17% "hanya dengan tidak melakukan apa-apa".
Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong berkata, "pelan gambaran besar" Najib adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan sektor swasta dan penggunaan domestik, namun tidak banyak yang dilakukan bagi meningkatkan gaji dan dengan itu menggalakkan perbelanjaan.
Pertumbuhan gaji dalam sektor pembuatan kini lembap, kata Yin, sambil menambah, ia bergantung kepada gaji sektor perkhidmatan dan merupakan petunjuk yang baik bagi pertumbuhan gaji secara umum.
"Oleh itu, apabila gaji rakyat tidak mengatasi inflasi, maka orang ramai tidak akan selesa dari segi ekonomi untuk berbelanja lebih. Jadi, di mana mereka akan mendapatkan wang untuk berbelanja?
"Saya meramalkan, lebih ramai orang akan membuat pinjaman dan mengambil hutang bagi membiayai penggunaan mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.
Yin berkata Najib tidak meletakkan banyak usaha dalam membangunkan sektor pembuatan supaya ia boleh lebih memberi nilai, membuat produk yang lebih baik, meningkatkan eksport dan meningkatkan gaji.
Malah, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dalam responsnya kepada Bajet 2016 berkata, lebih banyak sepatutnya boleh dilakukan untuk merangsang sektor ini ke arah "nilai tinggi dan insentif pembuatan berteknologi tinggi".
Kali terakhir sektor ini mendapat manfaat daripada insentif besar adalah pada 2008, kata FMM dalam satu kenyataan semalam.
Ahli ekonomi Dr Yeah Kim Leng berkata, beliau meminta kerajaan menangani kebergantungan negara yang tinggi kepada pekerja asing, yang menurutnya "membantutkan transformasi struktur Malaysia".
"Apa yang diperlukan ialah bagaimana mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Implikasi negatif dari buruh asing yang murah boleh memperlahankan transformasi struktur kita," katanya kepada The Malaysian Insider.
sumber
No comments: