» » Najib Razak akan terus berkuasa dengan GST sebagai senjata utamanya dan jadikan rakyat Malaysia sebagai mangsa


Mudahnya, strategi Bajet 2016 ini langsung tidak menghiraukan apa yang diunjurkan pakar ekonomi yakni prognosis buruk mereka: negara bakal ditimpa krisis ekonomi dalam suku ketiga 2016.

Najib enggan menerima hakikat ekonomi negara diambang krisis bahkan kemelesetan, andainya tidak diurus dengan pruden. Atau memang begitu cara dan pendekatan ‘Najibnomiks’ yang ‘mengepam’ (counter-cyclical) ekonomi? Kesannya sedia maklum.

Meskipun istilah konsolidasi fiskal disebut-sebut beliau dan menteri ketika membuat komen tentang bajetnya, bajet ini jelasnya adalah segala-galanya, kecuali ‘konsolidasi fiskal.

Ya, Najib seolah-olah berbelanja semacam ini bajetnya yang terakhir. Komentar itu dikongsi spontan oleh Bloomberg dan beberapa pihak lain, sejurus selepas pembentangan.

Najib sememang menteri kewangan yang tidak punya rekod baik dalam hal pengurusan kewangan negara. Kalau susah sangat Najib akan membuat ‘bajet tambahan’. Itu tabiatnya.

Tahun 2015 yang berbaki dua bulan lagi ini, bakal menyaksikan hutang kerajaan Persekutuan membengkak ke paras RM627.5 bilion, melonjak dari RM582.8 bilion dalam tahun 2014.

Peningkatan hutang 7.7% adalah melebihi pertumbuhan KDNK yang diunjurkan hanya pada paras 4-5%. Najib tidak ambil pusing semua ini.

Bajet Najib mengunjurkan defisit fiskal dikurangkan ke paras 3.1% daripada 3.2% yang dijangka untuk tahun 2015 ini. Apakah ianya munasabah?

Setelah berbelanja besar untuk menggembirakan semua pihak dalam kategori B-40 dan juga M-40, termasuk kelompok perkhidmatan awam dan pesara, Najib jelasnya ‘berjaya’ memujuk sebahagian besar rakyat.

Tanpa mengulangi angka-angka tersebut yang penulis yakin sudah pun dihafal semua kelompok sasaran tersebut tentang berapa kenaikan yang mereka dapat, termasuk kenaikan ‘subsidi harga padi’ untuk pesawah yang tidak dinaikkan kerajaan Barisan Nasional sejak tahun 1991, maka Najib berasa dirinya selamat. Rakyat teramai disangka terlupa setelah digula-gulakannya!

Justeru, dalam respons awal ini, penulis ingin mengingatkan Najib dan rakyat sekali gus.

Najib jelasnya dalam penafian dan hakikat itu, dalam jangka dekat dan juga sederhana tidak menguntungkan sesiapa.

Bajet Pakatan Harapan bertemakan “Mengelakkan Krisis”. Kami masih boleh menerima kita belum lagi dalam krisis meskipun segala petunjuk ekonomi, seandainya tidak diurus, akan bakal menjerumuskan negara ke dalamnya sekali gus mensengsarakan rakyat.

Perbelanjaan diperuntukkannya sebanyak RM267.2 bilion dan peruntukan untuk JPM, contohnya dinaikkan ke paras RM20.3 bilion.

Sangat malang, dalam bajetnya, Najib jelas adalah ‘pencetusnya’ dan bakal menjadi ‘penerusnya’ krisis yang bakal melanda negara dan rakyat khususnya dalam suku ketika 2016!

Najib tidak langsung cuba menggarap permasalahan besar ‘fundamental’ dalam ekonomi, antara lainnya, penguncupan simpanan asing, lebihan akaun semasa yang semakin menipis, nilai ringgit yang terus merudum membawa kepada inflasi import atau ‘imported inflation’.

Benar wujud faktor-faktor yang bersifat luaran atau ‘external’. Harga komoditi seperti minyak mentah, kelapa sawit, getah dan yang lain sememang ditentukan pasaran dunia.

Di samping itu, ekonomi China, rakan dagang terbesar kita, yang terus ‘perlahan’ dan polisi mereka yang sengaja menurunkan atau ‘devalue’ nilai mata wang renminbi mereka, atau ancaman dari kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan pelbagai ancaman.

Dengan segala risiko yang mendatang ini, Najib wajar tahu beliau tidak banyak pilihan kecuali untuk benar-benar pruden dalam kawalan kewangannya. Sekadar menyebut ‘konsolidasi fiskal’ adalah mudah. Siapa pun boleh.

Najib tahu beliau berdepan dengan masalah besar dalam ekonomi negara yang berpunca, antara lainnya, ‘kehilangan keyakinan’ pelabur, sama ada luar mahu pun dalaman atau domestik.

Pengaliran dana keluar atau ‘fund outflow” adalah terbesar sejak krisis 2008, yakni sebanyak AS$30 bilion (RM120 bilion) dan kemasukan pelaburan asing atau FDI menguncup sebanyak 42% dalam setengah tahun 2015 ini berbanding setengah tahun sebelumnya 2014.

Najib jelasnya tidak mendepani permasalahan ini. Dia dalam mode penafian tegar nampaknya. Tidak langsung beliau singgung bab dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi yang sekali gus memburukkan imej integriti atau rasuah di negara ini.

Hutang RM42 bilion 1MDB tidak langsung beliau rungkaikan untuk tangani persepsi pelabur tentang keupayaan syarikat 100% milik MOF ini. Keyakinan pelabur sukar untuk dipulihkan.

Sebaliknya, Najib masih lagi mahu bermain dengan psikologi rakyat untuk mengisytiharkan projek-projek mega-besar seolah-olah kita masih punya banyak dana untuk berbelanja.

Najib mengumumkan juga projek mega seperti MRT2 sebanyak RM28 bilion dan lebuh raya Pan-Borneo sebanyak RM16.1 bilion.

Dalam suasana di ambang krisis Najib tidak perlu bersandiwara dengan sebutan kitaran ini. Rakyat sudah celik, yang kesemua projek-projek ini bukannya dalam bajetnya.

Tetapi kalau dilaksanakan juga akan mengambil perbelanjaan ‘Off-Budget Spending’ atau Perbelanjaan di luar Belanjawan 2016. Itu trik lamanya. Bahaya kepada hutang negara.

Tweet dari Menteri Perumahan @mpkotabelud menerangkan segala-galanya: "Without GST, our economy would be put under tremendous pressure which could inflict long term negative impact on the economy."

Saya lantas jawab dengan tweet saya: “Shame on the govt to have to say that GST is the saviour of our economy. Despicable. Little wonder why it is ruined... Sigh"

Ramalan pungutan GST sebanyak RM39 bilion itu akan menyelamatkan negara ini. Kali terakhir pungutan SST 2014 adalah RM17 bilion. Ini serentak bermaksud rakyat akan dicekik untuk mengeluarkan RM22 bilion lebihan pungutan cukai GST sebagai pendapatan negara.

Benar-benar GST yang menyelamatkan Najib akan memangsakan rakyat pada tahun 2016 ini! Kalau terdesak Najib tidak segan silu akan memohon Bajet Tambahan!



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .