Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membidas sesetengah pemimpin Umno sebagai pengecut kerana tidak bersuara dalam isu krisis negara.
Ia mungkin kenyataan paling keras pernah dibuat beliau sejak digugurkan dari kabinet Datuk Seri Najib Razak Julai lalu.
Muhyiddin menyifatkan, ketika negara dalam keadaan kelam-kabut di waktu ini beliau sahaja yang berani bersuara untuk memperbetulkan keadaan.
"Hanya saya seorang bersuara, yang lain buat apa?
"Saudara semua pengecut, takut kena pecat sebagai ketua cawangan, ketua bahagian dan ada juga wakil rakyat.
"Semua orang amat takut untuk bersuara walaupun keadaan negara dalam situasi begini tetapi tak mahu buat apa-apa. Orang luar tanya saya apa sudah jadi," katanya seperti dilaporkan SInar Harian.
Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda; Berani Kerana Benar anjuran Sinar Harian, hari ini.
Hanya berkata benar
Muhyiddin turut mengeluh terhadap wujudnya rasa ketakutan untuk mereka untuk bersuara.
"Saya bersuara bukan mahu menjatuhkan parti. Saya hanya berkata benar kerana bimbang tentang masa depan negara," katanya.
Menurut Timbalan Presiden Umno itu, Malaysia berada dalam keadaan tidak stabilan dari aspek politik susulan skandal yang melanda Najib.
Sementara itu, Najib menghadapi cabaran supaya melepaskan jawatannya selepas dilanda isu RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi beliau dan mendakwa wang tersebut adalah dana politik dari Timur Tengah.
Sementara itu, Muhyiddin menggesa para pemimpin Umno tampil lebih berani dengan mencontohi Nabi Muhammad yang tidak berdiam diri sekiranya berlaku sesuatu kemudaratan.
"Ketika dalam kerajaan, saya gunakan kuasa untuk nasihat dan beri pandangan tapi langsung tak diambil kira. Macam bodoh sangat timbalan perdana menteri ni.
"Saya bersuara bukan untuk jatuhkan parti. Saya hanya berkata benar kerana bimbang tentang masa depan negara," katanya lagi.
No comments: