Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo akan membentangkan satu rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 145 (6) Perlembagaan Persekutuan untuk mewajibkan tribunal bagi memutuskan sama ada peguam negara perlu disingkirkan dari pejabatnya.
Tindakan ini dilakukan selepas bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dibuang dari Putrajaya pada 27 Julai, walaupun tempoh khidmatnya berakhir pada awal Oktober.
Gobind, yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP berkata seolah-olah terdapat pandangan yang berbeza sama ada peguam negara itu boleh dibuang tanpa penubuhan tribunal.
Beliau berkata pindaan itu perlu kerana Fasal 6 Perkara 145 termasuk kata-kata yang seolah-olah menunjukkan hanya peguam negara yang pertama, Tan Sri CM Sheriden, yang mempunyai tempoh yang selamat, dan bukan mereka yang dilantik selepasnya.
"Dalam usaha menyelesaikan perkara ini, perlembagaan perlu dipinda supaya peguam negara tidak akan digugurkan terlebih dahulu tanpa menubuhkan tribunal," katanya kepada The Malaysian Insider.
Persidangan Dewan Rakyat akan memulakan sesi ketiganya tahun ini mulai 19 Oktober.
Gobind berkata Perkara 145(3) menyatakan seorang hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan hanya boleh disingkirkan dengan menubuhkan sebuah tribunal.
"Sehubungan itu, mesti terdapat tempoh keselamatan untuk peguam negara untuk bertindak secara bebas dan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih supaya beliau tidak sewenang-wenangnya disingkirkan," katanya.
Perlembagaan menyatakan pangkat peguam negara setaraf dengan seorang hakim Mahkamah Persekutuan.
Malah, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Yunus dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, langkah itu akan membolehkan peguam negara menjalankan tugas secara profesional.
"Saya berpendapat, peguam negara, kerana keadaan kerjanya, mesti mempunyai tempoh keselamatan. Oleh itu, terdapat keperluan meminda perlembagaan bagi memberi tempoh keselamatan," katanya dalam temu bual itu.
Gani digantikan sebagai peguam negara atas alasan kesihatan pada 27 Julai.
Beliau digantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan serta-merta.
Ketika mengumumkan penyingkiran Gani, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa juga berkata, Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara pada 6 Oktober.
Gani, bagaimanapun, melahirkan rasa terkejut disingkirkan sebagai peguam negara atas alasan kesihatan kerana beliau tidak menyerahkan surat peletakan jawatan.
Ahli Parlimen pembangkang berkata, langkah Putrajaya menggantikan Gani dengan Apandi tidak mengikut perlembagaan kerana bekas peguam negara itu tidak meletakkan jawatan dan juga tidak bersara atas sebab kesihatan.
Gani yang pernah memegang jawatan peguam negara dari Januari 2002, disingkirkan kerana beliau antara yang mengetuai pasukan petugas khas bagi menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Gobind berkata beliau berharap Apandi dan semua ahli Parlimen pembangkang serta ahli Parlimen BN akan menyokong rang undang-undang yang penting kepada negara itu.
"Rang undang-undang itu memerlukan sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen kerana ia melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Gobind berkata beliau berharap menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri juga akan memberi perhatian kepada pentadbiran Najib untuk menyokong rang undang-undang itu, yang bertujuan membawa negara kepada sistem pendakwaan yang bebas.
sumber
No comments: