Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo bersalah melakukan rasuah dalam pembelian tanah dan sebuah banglo ketika beliau mengetuai kerajaan negeri, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam mengekalkan sabitan itu.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim berkata, rayuan Khir ditolak dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
"Semua intipati pertuduhan itu berjaya dibuktikan, termasuk sama ada dia adalah seorang penjawat awam," katanya kepada mahkamah yang padat hari ini.
Pengerusi panel hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan rehat 30 minit kepada pihak berkenaan membuat penghujahan untuk menjatuhkan hukuman.
Khir, seorang doktor gigi yang terlatih, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Disember 2010, atas tuduhan rasuah yang melibatkan pembelian dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.
Beliau dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, plot dan rumah tersebut di No 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui salah seorang pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.
Dia melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam pada 29 Mei 2007.
Kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, dan pada Disember 2011, Khir didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Mahkamah yang membicarakan kes itu juga memerintahkan tertuduh dilucutkan hak ke atas hartanah itu dan menyerahkannya kepada kerajaan.
Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan atas Khir.
Khir merupakan menteri besar Selangor yang kedua menghadapi tuduhan rasuah selepas Datuk Harun Idris 40 tahun lalu.
sumber
No comments: