Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak lagi akan memberikan tajaan kepada mana-mana pelajar yang melanjutkan pelajaran di Universiti Taylor disebabkan pelbagai alasan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Dalam respons segeranya, Naib Canselor Dr Pradeep Nair berkata kepada The Malaysian Insider, Mara masih belum memaklumkan universiti itu berkenaan arahan sedemikian.
"Kami belum menerima makluman rasmi daripada Mara setakat ini. Sehingga itu, kami tidak mampu untuk memberikan sebarang kenyataan berkenaan perkara ini," katanya, ketika dihubungi.
Ketika mengumumkan perkara itu, Ismail bagaimanapun tidak menyatakan sebab kukuh, lapor akhbar The Star.
"Ada banyak sebab," katanya, ketika ditanya sama ada keputusan itu mempunyai kaitan dengan tindakan pihak pengurusan Taylor menamatkan kontrak operator bas yang menggunakan logo mereka untuk membawa peserta Himpunan Rakyat Bersatu di Kuala Lumpur, minggu lepas.
"Namun saya ingin menjelaskan, kami tidak menamatkan biasiswa pelajar sedia ada, dan mereka boleh meneruskan pengajian. Hanya pengambilan pelajar seterusnya akan terkesan."
Menteri Umno itu berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad, bagi membuat semakan berkenaan penajaannya di universiti tersebut.
Universiti Taylor menamatkan kontrak dengan Wawasan Sutera, Khamis lalu, sehari selepas himpunan itu berlangsung pada 16 September.
Pihaknya berkata, perkhidmatan kontrak itu akan diteruskan sehingga notis penamatan kontrak pada 16 November.
Turut dikatakan institusi pendidikan tinggi itu melarang penggunaan logo mereka, bagi membawa penyokong himpunan "baju merah".
Ismail sebelum ini menerima kritikan susulan kenyataannya yang meliputi perkauman, seperti menggesa orang Melayu memboikot peniaga Cina dan cadangannya mewujudkan "Low Yat 2".
Beliau juga merupakan antara penyokong himpunan baju merah, dan berkata akan menghantar peserta untuk menyertai himpunan itu selaku kedudukannya sebagai ketua Umno Bahagian Bera.
sumber
No comments: