Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan kes bekas model yang didakwa menanggalkan bajunya di khalayak ramai dengan gambarnya tanpa baju dan coli menjadi viral di laman sosial, April lalu.
Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne supaya diberikan tempoh 2 minggu untuk serahan gambar serta rakaman video kes terbabit.
Malini turut memaklumkan kepada mahkamah beberapa dokumen yang akan digunakan untuk perbicaraan telah diserahkan kepada tertuduh, Persana Avril Sollunda, 33.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 3 hari bermula 11 Januari depan untuk perbicaraan kes itu. Persana Avril, yang diwakili peguam Kelvin Tan hadir di mahkamah hari ini memakai baju hitam serta berseluar biru.
Pada 10 Ogos lepas, mahkamah sama memutuskan Persana Avril adalah waras dan layak dibicarakan selepas meneliti laporan kesihatan mental yang dikeluarkan Hospital Tanjung Rambutan.
Persana Avril didakwa menanggalkan baju di khalayak ramai apabila gagal membayar selepas makan di sebuah kedai nasi ayam di Jalan Petaling di Kuala Lumpur pada 23 April lepas.
Dia didakwa terhadap pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 3 bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
sumber
No comments: