Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan semakin sesak dengan pertambahan kenderaan petang ini berikutan ramai warga kota pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Hotline, setakat 6.30 petang ini, aliran trafik dari arah utara bergerak perlahan dari Juru ke Permatang Pauh, Sungai Dua ke Bertam, Tapah ke Gua Tempurong.
"Aliran trafik juga sesak dari Simpang Pulai ke Ipoh berikutan lori rosak di KM283.7 menghala ke utara dan kemalangan turut berlaku dari Sungkai ke Bidor di KM348.0," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagi arah selatan pula, aliran trafik dilaporkan sibuk di Pedas Linggi menghala ke arah Simpang Empat, Ayer Hitam ke Yong Peng dan Senai ke Kulai Utara.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pertambahan kenderaan turut berlaku di Plaza Tol Gombak ke Pantai Timur, Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan Plaza Tol Bentong ke arah Pantai Timur.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twittercom/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.
sumber
No comments: