Umno dilihat lemah hari ini bukan kerana permainan pembangkang tetapi kerana adanya ahli yang mementingkan jawatan dan kedudukan serta pelbagai lagi yang lebih kepada kepentingan diri sendiri.
Setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata hanya kerana segelintir anggotanya yang tidak ikhlas dalam memperjuangkan matlamat parti itu, Umno kini berdepan dengan krisis.
"Malah ada di kalangan ahli yang sanggup menjahanamkan parti Umno itu sendiri yang bersikap seperti anai-anai serta gunting dalam lipatan, yang tidak sudah-sudah mengadu domba," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Selangor, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim dan Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Datuk Ishak Harun.
Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, ahli Umno sepatutnya seorang yang bersatu dan setia kepada presiden serta berani melawan setiap tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas presiden.
"Ahli juga perlu bersatu dalam apa jua keadaan serta bersedia berkhidmat bukan hanya untuk kelompok kita saja, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia," kata menteri Wilayah Persekutuan itu.
Dalam ucapannya, Tengku Adnan yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan turut menekankan betapa pentingnya untuk Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan berganding bahu, kerana kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain.
"Kalau Umno Selangor kuat, Umno Wilayah pun akan kuat dan begitulah sebaliknya. Saya yakin kita mampu lakukan yang lebih baik. Jangan kita putus asa kerana Umno tidak pernah berputus asa dalam berjuang," katanya.
sumber
No comments: