» » UMNO Johor raikan kepelbagaian pendapat sewaktu Najib Razak cuba kawal Internet di Malaysia


Sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba memperkenalkan kawalan Internet atas alasan mengawal fitnah, Pengerusi Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula menyeru ahli partinya di Johor agar menyokong pemimpin yang meraikan kepelbagaian pendapat.

Nada berbeza dalam mesej beliau itu dilihat sebagai satu kesinambungan kepada kritikan halus dari negeri selatan tanah air susulan pemecatan pemimpin negeri itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan perdana menteri, hujung Julai lalu.

"Bagi Umno Johor, kami sentiasa yakin pemimpin yang baik adalah yang meraikan kerencaman idea dan pendapat. Yang tidak mendirikan pagar feudal dan hierarki dalam lapangan idea dan pemikiran.

"Sebaliknya, pemimpin yang menyediakan segala landasan yang luwes, bebas dan terbuka.

"Saya percaya, perkara ini lebih menggambarkan secara benar dan jujur budaya Umno. Budaya keterbukaan dan kesediaan meraikan perbezaan," kata Khaled memetik butiran percakapan bertulis beliau sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Kota Tinggi petang ini.

Menurut Khalid, Umno pada asalnya adalah sebuah parti memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan negara.

"Dan kita percaya kebebasan dan kemerdekaan itu turut mencakupi keupayaan untuk menjadi bangsa merdeka yang tidak anti akal, tidak anti kebebasan bersuara.

"Menyogo-nyogok itu bukan budaya Umno. Mengia-iakan secara membuta tuli itu bukan budaya Umno. Menganggung-angguk dan menggeleng-geleng tanpa prinsip itu juga bukan budaya Umno," katanya lagi.

Beliau turut berpesan yang amalan menerima pandangan tanpa kritikal adalah satu bentuk penindasan dalam berfikir.

"Pada saya, sogokan dan paksaan menerima pandangan dan maklumat secara bulat-bulat ini adalah satu bentuk diktator minda dan tirani dalam amalan berfikir.

"Ia tidak menjadikan kita matang, sekadar pak turut fikiran orang sejak kecil. Kita akan jadi hamba akal orang lain. Akal kita akan hanya sekadar hiasan," kata Khaled.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai satu sanggahan kepada penjelasan Najib dan penyokongnya berkenaan wang RM2.6 bilion dalam akaun beliau yang didakwa sebagai sumbangan politik.

Penjelasan itu sehingga kini masih diragui kesahihannya oleh sebilangan besar rakyat.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .