Sebahagian daripada ahli Umno bahagian Semporna juga tidak sependapat dengan pemimpin mereka namun ketuanya tidak pernah berpendapat mereka perlu dipecat.
Merasmikan mesyuarat agung tahunan Umno Bentong, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Umno Semporna mempunyai 458 cawangan sehingga menyaksikan lebih 2,000 perwakilan hadir mesyuarat bahagian itu baru-baru ini.
"Tetapi syukur kepada Allah, mereka mengikuti "mazhab Shafie" sejak lima tahun lalu," ujarnya berseloroh.
Kata Naib Presiden Umno yang dipecat Datuk Seri Najib Razak itu, berbeza pandangan dalam hal tertentu bukanlah masalah besar sehingga perlu tindakan drastik diambil.
"Lawan, ada (mereka mungkin tidak bersemuka dengan saya), tetapi tak jadi masalah.
"Lawan dari atas, dari bawah, tapi saya tak pernah pecat mereka," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, pertentangan dan berbeza pendapat adalah lumrah dalam gelanggang politik.
Kenyataan Mohd Shafie jelas menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memecat beliau daripada jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 28 Julai lalu.
Turut dipecat, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kedua-dua orang penting Umno itu sebelum ini lantang mengkritik Najib dalam mengendalikan kemelut 1MDB.
No comments: