» » SPRM minta Jho Low dan 2 yang lain tampil untuk bantu siasatan SRC International

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali juga sebagai Jho Low tampil bagi membantu siasatan berkaitan kes SRC International.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata bekas pengarah urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah SRC International Datuk Suboh Md Yassin juga diminta hadir ke Bahagian Operasi Khas SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan kes sama.

"Ketiga-tiga mereka dikehendaki menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 010-318 7757 atau 03-8890 0752 atau penolong pesuruhjaya Norkhafizin Isa di talian 019-600 0345 atau 03-88900754.

"SPRM juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat di mana ketiga-tiga mereka berada agar menghubungi Rosli, Norkhafizin atau pun mana-mana pejabat SPRM yang terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Faisal, kad pengenalan 710304-10-6303 dan pasport bernombor A31780240 beralamat terakhir di 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor.

Suboh pula pemegang kad pengenalan 510111-10-5521 dan pasport D021678 dan R016029 beralamat terakhir di 3-15-2, No 3, The Residence, Jalan Wan Kadir 5, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Jho Low memegang kad pengenalan 811104-07-5701 pula beralamat di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed minggu lalu berikrar akan memastikan siasatan terhadap syarikat SRC International berkaitan dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan.

Abu Kassim berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara sempurna sebagaimana kes yang disiasat SPRM sebelum ini.

“Selagi saya ketua pesuruhjaya SPRM, saya akan memastikan siasatan berkenaan isu SRC International selesai," katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian Online.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan tidak ada satu sen pun daripada AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak datang daripada dana pencen kerajaan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Katanya, wang itu bersumberkan hanya seorang penderma dari Timur Tengah, dan ia disalurkan melalui pelbagai syarikat untuk mengelak daripada dikesan.

"AS$100 juta yang pertama adalah cek atas nama Najib. Pemindahan dana berikutnya melalui pelbagai saluran dan firma kerana penderma tidak mahu dilihat satu cek besar ditulis di bawah nama Najib.

"Pada kesudahannya, semuanya dibuat untuk membantu kita, sebagai pembiayaan politik," kata Zahid.

Beliau tidak menamakan identiti penderma itu dan berkata, jika pembangkang ingin tahu siapa penderma itu, mereka mesti mendedahkan sumber dana mereka sendiri terlebih dulu.

Sejumlah RM4 bilion dana KWAP dipinjamkan kepada salah satu syarikat itu, SRC International Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada aliran wang sebelum berakhir di akaun bank peribadi Najib di AmBank, Kuala Lumpur.

SRC International mengambil pinjaman itu ketika ia masih anak syarikat 1MDB, sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Kurangnya akauntabiliti ke atas operasi dan tujuan penubuhan SRC International pada satu ketika mendorong ahli politik pembangkang menganggapnya berpotensi menjadi satu lagi skandal kewangan.

SRC International dinamakan sebagai syarikat asal wang RM42 juta yang akhirnya masuk ke akaun Najib antara Disember 2014 dan Februari tahun ini, selepas dipindahkan melalui Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.

Ihsan Perdana ialah firma yang menjalankan kerja tanggungjawab sosial korporat syarikat yang diilhamkan Najib, firma pelaburan negara 1MDB.

The Wall Street Journal pertama kali melaporkan mengenai aliran wang itu pada 2 Julai, memetik dokumen daripada penyiasat Malaysia.

Jumlah terbesar yang dipindahkan daripada dana itu, sebanyak AS$681 juta, didepositkan ke dalam akaun Najib menjelang pilihan raya umum pada Mei 2013.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .