Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada rasuah dan salah laku berhubung isu dana bernilai RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu bagaimanapun berkata, kenyataan terbaru perdana menteri menunjukkan seolah-olah Najib "membebaskan" dirinya sendiri daripada isu itu tanpa bukti yang menyokong kenyataan tersebut.
"Saya kagum perdana menteri yang boleh memutar belit kenyataan SPRM untuk mendakwa dirinya bebas daripada rasuah dan salah laku.
"Saya terpaksa membaca 3 kali kenyataan yang dikeluarkan SPRM untuk menyemak sekiranya tersilap membaca kenyataan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Najib ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bandar Tun Razak semalam dilaporkan berkata, beliau tidak akan sesekali menjual negara.
"Jangan kata saya jual negara. Saya tidak akan jual negara, saya perdana menteri yang akan dipertanggungjawab atas apa saja yang saya lakukan.
"Dan saya terima (dana) pun bukan kerana saya bagi kontrak," katanya dalam ucapan itu.
Beliau berkata sebagai presiden Umno, beliau mengutip dana termasuk derma untuk kepentingan parti dan bukan untuk diri sendiri.
"Sebagai presiden, saya kutip dana untuk kepentingan parti. Zaman dulu saya banyak (beri) pertolongan pada bahagian, haji, banyak rumah pulih, bahagian dapat tiap bulan, pentadbiran. Jangan bila saya diserang, kita tuang minyak.
"Sebab itu SPRM sudah kata, itu bukan rasuah dan bukan duit 1MDB. Selesai. Ia dah selesai," katanya.
Pua berkata, kenyataan SPRM bagaimanapun tidak menyebut "sumbangan penderma" tidak melibatkan rasuah seperti didefinisikan Akta SPRM.
"Jika SPRM menutup kes itu dan membersihkan perdana menteri daripada tuduhan rasuah, kenapa mereka keluarkan kenyataan 2 hari kemudian untuk menjelaskan SPRM akan memanggil Najib untuk memberikan penjelasan kepada SPRM berhubung derma yang diterima?" soal Pua.
Beliau berkata, ia menunjukkan SPRM tidak pernah membebaskan Najib daripada dakwaan sedemikian.
"Malah, jika benar SPRM sudah benar-benar membebaskan Najib, tiada keperluan tindakan drastik dilakukan Jabatan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap SPRM," katanya.



No comments: