» » SPRM nafi sedang draf kertas pertuduhan untuk dakwa Najib Razak


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPR) nafi mendraf pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan jenayah pecah amanah, dan berkata ia masih menyiasat kes membabitkan wang kerajaan yang didakwa masuk ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Pihak berkuasa anti rasuah itu juga berkata ia masih belum menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan terhadap dana SRC International Sdn Bhd.

“Merujuk kepada laporan portal Sarawak Report berkaitan kewujudan draf kertas pertuduhan, SPRM ingin menjelaskan kertas siasatan berkaitan isu SRC International Sdn Bhd masih belum dihantar ke Pejabat Peguam Negara,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

“SPRM menegaskan siasatan berkaitan SRC International masih berjalan. Oleh itu, tidak timbul isu sudah ada draf kertas pertuduhan berkaitan kes yang sedang disiasat ini,” katanya.

Laman pendedah maklumat Sarawak Report semalam menyiarkan kertas pertuduhan yang dikatakan untuk Najib, dikatakan disiapkan oleh bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai sebahagian siasatan dalam kes syarikat sarat hutang milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM hari ini berkata ia masih dalam proses mengesan beberapa saksi penting untuk melengkapkan siasatannya, menambah ia tidak akan mendedahkan sebarang maklumat berkenaan butir siasatan kepada mana-mana pihak kerana ia “melanggar undang-undang”.

“SPRM juga mengulangi tanggungjawab kami adalah menjalankan siasatan berhubung kes rasuah, dan bukannya bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan. Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional,” katanya.

Kenyataan itu hampir sama dengan peguam negara baru dilantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali pagi tadi yang berkata, butir siatan 1MDB termasuk keterangan saksi tidak akan didedahkan.

Beliau berkata, tidak wajar untuk mendedahkan nasihat, arahan, hala tuju atau garis panduan yang diberikan Pejabat Peguam Negara kepada pasukan petugas khas yang menyiasat dana itu.

“Walaupun orang awam layak dimaklumkan, butiran siasatan jenayah yang merangkumi antara lain, isi kandungan keterangan yang diberikan saksi dilindungi dan undang-undang melarang perkara seumpama itu didedahkan,” kata peguam negara dalam kenyataan hari ini.

SPRM adalah sebahagian daripada pasukan petugas khas, yang terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, bank Negara Malaysia dan SPRM, perlu dibenarkan menjalankan siasatan tanpa bimbang atau berat sebelah.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan awal bulan ini untuk menyiasat 1MDB dan dakwaan mengenai berbilion ringgi dipindahkan daripada beberapa syarikat lain yang berkaitan ke dalam akaun peribadi Najib.

Spekulasi menyatakan penyingkiran Tan Sri Abdul Gani Patail secara tiba-tiba pada Isnin bagi membolehkan Najib, yang kini disiasat berhubung skandal 1MDB, boleh terus memegang jawatan.

The Wall Street Journal dan Sarawak Report melaporkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dikatakan dipindahkan daripada syarikat milik kerajaan itu kepada 2 akaun bank Ambank di bawah nama Najib pada awal 2013.

Perdana menteri bagaimanapun menafikan mengambil mana-mana dana daripada 1MDB bagi “kepentingan peribadi” tetapi tidak mengulas secara langsung mengenai wang yang dimasukkan ke akaunnya itu.

Akaun yang dikatakan menerima dana berkenaan kini sudah ditutup.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .